Masuk Percuma MAPS Mulai 1 Mac, Hanya Bayar Jika Bermain.
Wah, ini berita baik untuk ibu bapa yang mahu bawa anak-anak bersukaria di taman tema berkonsepkan animasi yang pertama di Asia iaitu Movie Animation Park Studios (MAPS).
Pemansuhan bayaran masuk yang dikenakan sebelum ini iaitu sebanyak RM70 untuk pas sehari itu, diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, selepas ini para pengunjung hanya perlu membayar menerusi sistem kupon sekiranya mahu bermain permainan atau menonton persembahan di taman tema tersebut yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh.
Menurutnya, model bisnes baharu ini dilaksanakan setelah mengambil kira keluhan rakyat yang merasakan harga tiket masuk ke MAPS agak tinggi dan di luar kemampuan mereka.
Selepas ini, kupon yang berharga serendah RM3 disediakan selain dua bentuk tiket istimewa.
Tiket berkenaan ialah MAPS Passport berharga RM80 untuk pengunjung menaiki setiap permainan dan tarikan di MAPS untuk sekali saja dengan tempoh sah adalah selama 30 hari.
Satu lagi tiket ialah MAPS Infinite Pass yang mana pengunjung boleh menaiki dan menikmati setiap tarikan di MAPS seberapa banyak kali yang mereka mahu dalam tempoh sehari.
Waktu operasi MAPS mulai 1 Mac ini ditetapkan mulai pukul 4 petang sehingga 12 malam pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.
Hari Jumaat dan hujung minggu, MAPS akan beroperasi bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam.
Semoga dengan khabar gembira ini, lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara akan mengunjungi MAPS.