Nak Bercuti Ke Pulau Payar? Naik Bot Dari Alor Setar Je, Jimat Masa & Kos!

JALAN-JALAN
February 19, 2020 - 12:53 PM


Wow, ini ada berita baik kepada korang yang nak bercuti ke Pulau Payar, Kedah yang terkenal dengan keindahan pantai serta hidupan marinnya.

Kalau sebelum ini, pelancong yang mahu ke taman laut itu biasanya perlu mengambil pakej dari Pulau Langkawi atau Pulau Pinang dengan kos perbelanjaan yang agak tinggi --- namun kini korang boleh berkunjung ke sana dengan menaiki bot dari Jeti Kuala Jerlun, Alor Setar yang hanya mengambil masa selama setengah jam atau kira-kira 25 kilometer sahaja.

Selain menjimatkan masa, perjalanan ke Pulau Payar dari tanah besar menggunakan bot khas terus yang dikendalikan golongan nelayan di Kuala Kedah juga, lebih menjimatkan kos.

Dari segi keselamatan korang tak perlu risau kerana kapten yang mengemudi bot-bot tersebut adalah terdiri daripada nelayan yang bertauliah dan terlatih, manakala bagi setiap penumpang mereka diinsuranskan dan bagi memastikan tahap keselamatan berada di tahap optimum, jaket keselamatan turut disediakan termasuk untuk penumpang kanak-kanak.

Setakat ini, sebanyak 5 buah bot yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan khusus untuk pakej perjalanan sehari (dari pagi hingga petang) ke Pulau Payar disediakan kepada pengunjung.

Harga pakej bermula serendah RM1,000 bagi sebuah bot berkapasiti 12 orang, malah makanan juga turut disediakan sekiranya ada permintaan daripada pelanggan.

Antara keistimewaan jika bercuti ke Pulau Payar adalah pengunjung dapat melihat hidupan laut yang unik dan menarik dengan lebih dekat, di samping dapat menyaksikan terumbu karang yang indah di dasar laut. Bahkan, peralatan untuk aktiviti ‘snorkeling’ turut disediakan.

Pakej perkhidmatan ke Pulau Payar yang telah mula ditawarkan sejak Oktober tahun lepas itu ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Selain perjalanan ke Pulau Payar, perkhidmatan bot nelayan dari Kuala Kedah itu juga menerima tempahan bagi aktiviti memancing di luar kawasan taman laut dengan kadar sewa dari RM500 hingga RM600 sehari.

 

Sumber: Bernama

 

Destination: