Rugi Kalau Tak Singgah Ke 9 Lokasi Musim Bunga Terbaik Di Korea Ini!
Jika anda bercuti ke Korea Selatan bermula bulan Mac hingga Mei, anda berpeluang untuk menikmati keindahan warna-warni bunga-bunga segar yang tumbuh subur di bumi Winter Sonata itu.
Waktu kemuncak musim bunga di sana adalah pada bulan ini iaitu April di mana pelbagai spesies bunga-bungaan sedang berkembang mekar terutama 'cherry blossom' atau sakura.
Berikut 9 tempat menarik di Korea yang mesti anda lawati dan sangat rugi jika tak berkunjung atau selfie di sana.
#1. Yoido Park, Seoul
Musim bunga terutamanya pada bulan 4, Yoido Park menjadi tumpuan masyarakat Korea dan pelancong untuk melihat beratus-ratus pokok cherry blossom di taman ini. Festival Cherry Blossom juga diadakan di sini pada musim bunga kerana taman ini antara taman tercantik dan terbesar di Korea.
#2. Seoul Tower
Selain dapat menikmati keindahan seluruh bandar Seoul dari ketinggian 236 meter ketika berada di puncak Seoul Tower, anda juga dapat melihat di sekeliling menara dihiasi cherry blossom. Malah, di kiri dan kanan sepanjang jalan menyelusuri Seoul Tower juga bakal membuat anda terpegun seolah-olah berada di dalam 'terowong sakura' yang sangat panjang.
#3. Everland Theme Park
Taman Tema Everland ini sangat popular dengan bunga tulip ketika musim bunga. Jadi, jangan lepaskan peluang melihat jutaan bunga tulip segar di Everland dan bersuka ria di Spring Festival yang diadakan di sana setiap hari sepanjang musim bunga.
#4. Changgyeonggung Palace
Salah satu istana lama yang terletak di pusat bandar Seoul dan ia merupakan lokasi utama untuk menyaksikan cherry blossom, plum blossoms, Korean bush cherry, sansuyu, apricot blossoms dan royal azaleas. Malah dari semasa ke semasa, pengunjung juga dapat melihat kuntuman bunga gugur menghiasi Jambatan Okcheongyo berhampiran.
#5. Pulau Cheongsando
Terletak kira-kira 19 kilometer di selatan Wando di Jeollanam adalah Pulau Cheongsando. Pulau ini diberi jolokan "Slow City" pertama di Asia pada tahun 2007 kerana pembangunannya yang lembap berikutan pulau itu sangat tenang dan damai dikelilingi alam semulajadi yang menakjubkan.
Ketika musim bunga, pulau ini akan bertukar menjadi warna kuning keemasan kerana dibanjiri dengan bunga Canola yang hidup subur di sini.
#6. Songpa Naru Park
Setiap kali tibanya musim bunga, Songpa Naru Park di Seoul ini menjadi lokasi wajib bagi pelancong dari serata dunia menyertai Festival Lake Cherry Blossom Seokchonhosu. Taman tasik yang mengelilingi Lotte World ini mempunyai ribuan pokok bunga cherry blossom yang menghasilkan pemandangan memukau mata sesiapa yang melihatnya.
#7. Ilsan Lake Park
Ilsan Lake Park ini terletak di daerah Gyeonggi-do dan merupakan taman yang dikelilingi pokok-pokok renek dan bunga-bungaan. Pada siang hari, pengunjung boleh bersiar-siar dan berpiknik di atas rumputnya yang hijau dan pada waktu malamnya, ia bertukar menjadi suasana yang romantik dengan dihiasi cherry blossom dan cahaya lampu seakan menjadi cermin akibat pantulan dari air tasik berkenaan.
#8. Yeojwacheon Stream
Kota Jinhae sangat meriah setiap kali munculnya musim bunga kerana di sini dianjurkan Festival Jinhae Gunhangjae sambil dihiasi kira-kira 360,000 pokok cherry blossom yang mula berkembang mekar. Kawasan tontonan bunga yang paling popular di sini ialah di Anmingogae Hill, Jehwangsan Park dan Yeojwacheon Stream.
Di Yeojwacheon Stream ini misalnya menjadi tumpuan ramai kerana sepanjang 1.5 kilometer ia dipenuhi dengan cherry blossom yang sekaligus mewujudkan terowong kelopak-kelopak bunga putih.
#8. Ssanggyesa Temple
Jalan sepanjang 6 kilometer menuju ke Ssanggyesa Temple yang terletak di daerah Gyeongsangnam-do ini sering diberi jolokan "Jalan Perkahwinan". Menurut kepercayaan masyarakat lama Korea, mereka yakin mana-mana pasangan yang melalui jalan ini pada setiap kali musim bunga akan saling jatuh cinta dan berkemungkinan besar berakhir dengan sebuah perkahwinan.
#9. Gwangyang Maehwa Village
Kampung Gwangyang Maehwa ini terletak berhampiran Sungai Seomjingang di daerah Jeollanam-do. Pokok-pokok bunga plum di sekitar kampung ini mula berkembang pada awal bulan Mac. Semasa Festival Gwangyang Maehwa, ramai pelancong dari seluruh negara dan dunia berkumpul di kampung itu.
Walaupun bunga plum berbeza mengikut warna bergantung pada jenis bakanya, namun kebanyakan bunga plum yang terdapat di kampung itu adalah berwarna putih. Bunga-bunga itu memberikan suasana yang misteri dan tenang, seakan kampung itu menyerupai kawasan ajaib yang dilindungi salji pada musim bunga.
Sumber: Korea Tourism Organization