Sempena Tahun Melawat Sarawak 2019, Ini 5 Tarikan Terbaru Bumi Kenyalang!

March 20, 2019 - 12:54 PM


Tahun ini diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Sarawak dengan bertemakan ‘Sarawak More to Discover’.

5 juta pengunjung disasarkan oleh Kerajaan Negeri untuk bercuti ke Sarawak, jadi tak hairanlah kalau pelbagai produk pelancongan terbaru diwujudkan demi menarik para pelancong dari dalam dan luar negara.

Berikut 5 tarikan baru yang mungkin korang belum tahu dan wajib ke Kuching untuk cuba sendiri!

 

1. Bandar Kraf Dunia

Ibu negeri Sarawak iaitu Kuching melakar sejarahnya tersendiri apabila diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia (WCC).

Lebih membanggakan ia menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij terbaik dalam bidang kraf, seni dan budaya.

Ramai pelancong terutama dari luar negara yang suka bercuti ke negeri Bumi Kenyalang ini bagi melihat dengan lebih dekat keunikan kraf, seni reka serta khazanah budaya yang dimiliki Borneo.

 

2. Darul Hana Musical Fountain

Kuching Waterfront sememangnya satu lokasi wajib lepak kalau korang bercuti ke Sarawak.

Jika selalunya kita akan ‘selfie’ berlatar belakangkan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, sekarang ada satu lagi tarikan di tebing Sungai Sarawak itu yang dinamakan Darul Hana Musical Fountain.

Air pancut berirama itu dipersembahkan dengan kesan bunyi khas, dua kali setiap malam iaitu pada pukul 8.30 dan 10 malam, setiap sesi akan mengambil tempoh 15 minit.

Musical Fountain yang berwarna-warni tersebut beroperasi menggunakan teknologi terkini yang memiliki pontoon selebar 100 meter, di atas pontoom itu disusun beratus nozzle yang berupaya memancutkan air setinggi 25 meter dari Sungai Sarawak.

 

3. Jambatan Darul Hana

Mesti ramai yang tertanya-tanya kenapa dipanggil Jambatan ‘Darul Hana’?

Sebenarnya Darul Hana ini bermaksud tempat atau kawasan kediaman yang aman dan harmoni.

Nama itu sepadan bagi menggambarkan fungsi jambatan pejalan kaki tersebut yang menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan serta meraikan keistimewaan rakyat Sarawak yang berbilang kaum namun hidup bersatu.

Istimewanya reka bentuk jambatan ini dihiasi elemen tradisi dan moden, termasuk dua tiang yang mempunyai simbol burung kenyalang, dua ruang tinjau serta dilengkapi system pencahayaan LED.

Jambatan yang menelan kos RM35 juta itu, berbentuk bengkok ‘S’ dengan lantai sepanjang 335 meter, disokong oleh dua kabel setinggi 45 meter dari menara keluli dengan kecondongan 48 darjah merentangi Sungai Sarawak.

Kedudukannya yang strategik berlatarkan bangunan Astana Negeri dan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pastinya bakal menjadi tumpuan ramai pengunjung untuk mengabadikan momen menarik di situ.

P/S: Bagaimanapun, kalau korang nak bergambar atau berselfie di atas jambatan itu dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan jangan memanjat pagar keselamatannya kerana baru-baru ini telah ada dua kejadian pengunjung terjatuh. So, jaga-jaga ya!

 

4. ‘Floating’ Masjid

Hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai sebuah masjid terapung yang menjadi kebanggaan negeri masing-masing.

Tak terkecuali sekarang adalah Sarawak yang juga memiliki masjid di atas permukaan air dipanggil  ‘Masjid India Bandar Kuching’!

Masjid ini dahulu merupakan sebuah pondok di lorong kecil Lebuh India dan antara masjid tertua di Sarawak yang dibina pada tahun 1834.

Namun, kini masjid tersebut dibina semula hingga tersergam indah di tebingan Kuching dan menjadi ‘first wow impression’ terutama buat pelancong luar dan mereka yang bukan beragama Islam.

Masjid terapung ini dibuka kepada orang awam pada 1 Mac lalu dan mampu menampung 1,600 jemaah pada satu-satu masa.

 

5. Bas Elektrik Pertama

Pada awal bulan ini juga sebenarnya Sarawak telah memulakan operasi bas elektrik pertamanya di Kuching.

Sebagai percubaan, tiada tambang dikenakan kepada penumpang selama tiga bulan ini.

Jadual perjalanan bas elektrik tersebut bermula 7 pagi dari perhentian utama di Open Air Market, Jalan Power dan akan berhenti di setiap 25 perhentian yang ditetapkan sepanjang laluan sehingga pukul 6 petang.

Laluan bas itu merangkumi seluruh kawasan warisan pelancongan yang popular untuk dilawati.

Bas berkonsepkan mesra lama itu juga menawarkan perkhidmatan yang mesra penumpang kerana turut menyediakan ruang untuk kerusi roda bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Lebih menarik, penumpang boleh menikmati perkhidmatan WiFi percuma tanpa had yang disediakan oleh Digi termasuk mempunyai sistem kawasan kandungan penyiaran, dilengkapi lima kamera litar tertutup (CCTV), video kiraan penumpang serta Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan orang ramai mengesan kedudukannya.

Jadi bagi korang yang nak cuba rasa pengalaman naik bas elekrik ini boleh muat turun aplikasi Kuching Metro di iOS dan Android!

Baca juga: Tempat-Tempat Menarik Di Sarawak Yang Anda Patut Pergi

Baca: 10 Hostel Backpackers Dengan Rating Terbaik Di Kuching

Destination: