Seremban Bosan? Jom Ikuti Iteneri 2 Hari 1 Malam Kami Di Seremban, Confirm Tak Bosan!

May 08, 2019 - 04:16 PM


Sebut pasal Negeri Sembilan, pasti tempat tarikan yang akan terlintas adalah pantai Port Dickson. Selain Port Dickson, Negeri Sembilan juga terkenal dengan ‘masak lomak’. Macam kita yang dari Kuala Lumpur atau Selangor ni, Negeri Sembilan ni boleh dikatakan dekat jugaklah. Dalam 45 minit naik kereta, sejam kalau naik KTM untuk sampai ke Seremban. Nilai tu toksah cakap lah, sebelah aje. Hehe.

Kebiasaannya kita dari KL/ Selangor ni, asal ke Negeri Sembilan je, mesti ke Port Dickson. Tak bosan ke? Sebenarnya, dekat Negeri Sembilan tu banyak tempat menarik yang kita boleh pergi. Kita je tak tahu.

Meh nak cerita apa yang boleh dibuat dalam masa 2 hari 1 malam di Seremban, Negeri Sembilan.

Iteneri ringkas ni adalah apa yang aku sendiri buat dan pergi seminggu sebelum puasa. Jadi aku akan tuliskan mengikut jadual aku buat haritu lah ye. Kalau korang nak ke Negeri Sembilan bulan puasa ni, boleh je, cuma adjustkan waktu makan tu.

HARI PERTAMA - Seremban

Bertolak dari KL sekitar jam 10 pagi, dalam pukul 11 lebih kurang dah boleh sampai dekat Seremban. Kalau tak jem lah. Hehe.

Galeri Diraja Tuanku Ja’afar

Galeri Diraja Tuanku Ja’afar merupakan sebuah muzium yang dibangunkan untuk memperingati dan menghidupkan kenangan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Photo Credit : IG | discoverymalaysian

Bangunan 3 tingkat ni penuh dengan pelbagai barangan peribadi dan penceritaan biografi Tuanku Ja’afar yang disusun mengikut susur masa dan terbahagi kepada 8 ruang pameran.

Anggaran dalam sejam disini kalau korang minat sejarah lah.

Waktu Operasi : 10 pagi – 5 petang setiap hari, kecuali Isnin (tutup).

Bayaran Masuk :RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kakak, warga emas dan OKU.

 

Muzium Negeri, Seremban

Selepas ke Galeri Diraja, korang boleh ke Muzium Negeri, Seremban untuk merasai pengalaman ‘Makan Beradat’ yang disediakan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Cuma syarat yang dinyatakan dekat sini adalah minimum 20 orang dan ia berdasarkan tempahan. Jadi sebelum ke sana, kena lah hubungi pihak Lembaga Muzium.

Makan beradat ni akan diadakan di ruangan Istana Ampang Tinggi dan Rumah Negeri Sembilan yang terletak bersebelahan dengan Muzium Negeri Sembilan itu sendiri.

Boleh rujuk poster LMNS di bawah, cuba tanyakan ada tak pakej berbuka puasa, kalau ada menarik sangat lah tu. Tapi kalau hari biasa (bukan bulan puasa), korang boleh untuk merasai pengalaman Makan Beradat atau dipanggil ‘Makan Berselo’ dari pukul 11 pagi hingga 3 petang.

Inilah menu aku haritu :

Daripada sini, korang bolehlah check in dekat hotel dulu. Di Seremban tu, ada banyak hotel sebenarnya, homestay pun ada. Korang cari yang berpatutan dengan bajet korang lah. Nak best, korang boleh bermalam di Klana Resort Seremban.

Pada awalnya, aku tak sangka ada hotel sebesar ini dekat dalam bandar Seremban ni. Secara keseluruhan, Klana Resort Seremban mempunyai 236 bilik yang terdiri daripada Deluxe, Premium, Garden Premium, Pool Premium dan Family Suite.

Macam biasa, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan asas untuk keselesaan tetamu. Review aku, bilik dia memang besar, puas hati!

Kalau korang nak tahu, Klana Resort ni pernah pegang rekod iaitu Hotel Dengan Kolam Renang Paling Dalam Di Malaysia.

Nanti aku cerita lebih pasal Klana Resort ni. Tapi, sempena bulan Ramadan ni, Klana Resort Seremban ada pakej promosi iaitu 2 hari 1 malam dengan RM188 (siap dengan sahur) untuk dua orang atau RM298 (sahur dan berbuka). Bilik yang diberikan adalah Bilik Deluxe.

Sama je layout dengan bilik Premium aku ni, bezanya pemandangan Premium adalah pool, deluxe menghadap parking kereta. Itu sahaja.

Untuk tempahan boleh ke laman web Klana Resort atau hubungi 06-766 7888.

Buffet Bebuka Puasa pun ada tau…

Kampung JKIN Extreme Park

ATV Kampung JKIN atau Kampung JKIN Extreme Park ini terletak di Jalan Lama Bukit Putus. Masa dengar nama Bukit Putus ni, agak menyeramkan jugak sebenarnya. Tapi, bila sampai di Kampung JKIN ni, lain rasanya. Teruja!

Di Kampung JKIN ni, korang boleh cuba pelbagai aktiviti lasak dan aktiviti yang boleh dikatakan ‘dekat’ dengan nature. Contohnya, korang boleh cuba menangkap ikan ataupun menoreh getah!

Kalau aktiviti lasak pulak, korang boleh menaiki ATV dan melalui trek yang disediakan. Ada banyak pakej yang korang boleh pilih. Nak dekat, nak jauh semua ada.

Boleh rujuk dekat bawah ni :

Selain ATV, korang boleh cuba flying fox ataupun buaian extreme lah kita panggil. Ala-ala di Bandung tu. Memang menarik dan kalau korang gemarkan aktiviti lasak ni, boleh ke sini.

Photo Credit : IG | discoverymalaysian

Oh, diorang juga ada sediakan pakej hiking ke Gunung Angsi ataupun mendaki Bukit Putus sendiri. Nak naik flying fox pun ada tau! 

Photo Credit : IG | kariwamegumi

 

Hari Kedua – Kek Kualo Pilah!

Macam aku cakap tadi, aku ke Seremban ni belum bulan puasa. Jadi boleh lah nak melantak siang hari. Hehe.Pagi hari kedua, aku mulakan dengan sarapan di Klana Resort. Makanan dekat Klana Resort ni memang ‘A’!

Disebabkan biasanya syarat hotel, korang kena check out by pukul 12, jadi kalau korang nak follow iteneri ni boleh lah ikut. Kalau tak teruskan.

Hari kedua aku mulakan dengan ‘food-hunting’ dekat Kuala Pilah!  

Makan tengah hari di Restoran Kak Lang D’Rimba. Kak Lang D’Rimba ni memang salah sebuah gerai atau kedai yang popular dekat area Pilah dan dia merupakan salah sebuah Restoran yang ada dalam program Selegho D’Pilah – Kuala Pilah Food Trail.

Photo Credit : IG | discoverymalaysian

Restoran Kak Lang D’Rimba ni memang menyediakan masakan tradisional Negeri Sembilan. Antaranya Ikan Keli Masak Lemak Cili Api, Daging Salai Masak Lemak, Siput Sedut dan macam-macam jenislah. Yang penting, semuanya sedap-sedap belaka.

Lokasi : Kak Lang D’Rimba, Hadapan Pejabat Risda,Jalan Sawah Lebar, Kuala Pilah 72000.

Lepas pada makan, aku syorkan korang ke NS Dairy Farm / Juasseh Agro Park iaitu sebuah ladang lembu milik bumiputera. Dah kenapa nak melawat ladang lembu?

Sebenarnya NS Dairy Farm ini adalah produk Agro Tourism ataupun pelancongan berasaskan ladang ternakan. Ladang ternakan sini adalah ladang ternakan tenusu dan mempunyai kilang pemprosesan susu segar di dalam ladang sejak tahun 2014 lagi.

Apa yang menarik dekat sini, selain daripada boleh melawat kawasan ladang ternakan, korang boleh menikmati susu pelbagai perisa keluaran NS Dairy Farm sendiri.

Kalau nak kelainan, apa kata korang bermalam sahaja di situ! Selain menyediakan lawatan ke ladang, di NS Dairy Farm terdapat lagi satu tarikan yang dipanggil Juasseh Agro Park.

Untuk penginapan, boleh memilih untuk tinggal di dorm yang disediakan dan kemudian boleh lakukan pelbagai aktiviti extreme seperti absailing, flying fox, memanah dan banyak lagi.

Lokasi : NS Dairy Farm – 3720, Padang Ragut, Rembang Panas, Juasseh, 72000 Kuala Pilah. Kalau tak jumpa cari, boleh waze Sekolah Rendah Kebangsaan Rembang Panas.

Hubungi NS Dairy Farm melalui Facebook di NS DAIRY FARM.

Last sekali, dah penat main dengan lombu korang boleh lah balik semula ke hotel.

Untuk makan malam, cuba korang ke Adwa Char Kuey Tiaw Sotong! Dekat je dengan hotel Klana Resort tu.

Menu dekat sini, semestinya yang special adalah Char Kuey Tiaw Sotong dia. Sepinggan RM20 ke RM30 bergantung pada saiz sotong.

Memang puas hati! Cuma – kalau korang nak ke sini, kena banyak bersabar. Kena pulak kalau ramai sangat orang. Memang sejam tak lari. Sebabnya, memang diorang sediakan setiap masakan disini satu pinggan satu pinggan. Bukan macam kedai lain yang boleh masak untuk 5 pinggan sekali gus. Tidak!

Untuk pastikan kesedapan dan kepuasan hati pelanggan, setiap hidangan dimasak satu per satu. Tunggu lama tapi puas hati beb!

Waze je ; Adwa Char Kuey Tiow.

Amacam? Teruja tak?

Secara ringkasnya, iteneri ke Seremban aku macam ni...

Hari Pertama : KL ---> Seremban ---> Galeri Diraja ----> Muzium Negeri ----> Check In Hotel ----> KG JKIN Extreme Park ----> Hotel 

Hari Kedua : Chek out ---> Tuju ke Pilah ----> Kak Lang D'Rimba ----> NS Dairy Farm ----> Adwa Char Kuey Tiaw  ----> Balik KL

Kalau hari kedua tu kurang pengisian, korang boleh singgah di Istana Seri Menanti untuk bergambar, tapi tak boleh masuk sebab sekarang tengah renovate. 

Tak sangka kan Seremban best?  Tunggu bahagian kedua, kita Teghojah Port Dickson pulak! 

Destination: