SIIAF 2019 Bakal Tarik Pelancong Antarabangsa Ke Selangor!
Korang tahu tak di Malaysia sebenarnya terdapat 18 suku kaum Orang Asli dan penduduknya pula mencecah lebih 140,000 orang.
Bagi memastikan sejarah orang asal yang menduduki Tanah Melayu sejak dahulu lagi, terus diketengahkan kepada pelancong dalam dan luar negara, satu festival bakal dianjurkan di Taman Botani Negara, Shah Alam pada 3 dan 4 Ogos ini.
Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 ini bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih mengenali kebudayaan dan kesenian unik kaum Orang Asli yang tidak banyak diketengahkan kepada umum dan semakin tersisih dek arus pemodenan yang pesat.
Acara yang berlangsung selama dua hari itu diadakan bersempena Hari Antarabangsa Orang Asli Dunia yang jatuh pada Ogos setiap tahun.
SIIAF 2019 akan mempamerkan khazanah warisan kaum Orang Asli melalui karya seni dan kraf tangannya, juga persembahan tarian tradisional yang dipersembahkan khas kaum Mah Meri dan Temuan dari Selangor, Semai dari Perak, Seletar dari Johor juga Borneo dari Sabah serta Sarawak.
Lebih menarik, festival yang telah masuk edisi kelima penganjurannya ini juga bakal disertai Orang Asli dari Comoros Island, Africa, Papua New Guinea, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.
Ia dijangka menarik sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dari Selangor serta pelancong antarabangsa.