Tempat Menarik di Brunei Yang Anda Boleh Pergi

February 11, 2019 - 06:01 PM


Brunei bukanlah salah satu destinasi yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia. Walaupun ianya terletak tidak jauh dari Malaysia, namun negara kecil ini tetap tidak menjadi perhatian pelancong. Bagi mereka yang tidak pernah ke Brunei pastinya persoalan "Di Brunei ada apa ya?"

Dengan niat untuk memenuhi checklist melawat kesemua negara Asean, penulis telah meluangkan masa dua hari untuk menjelajah negara tersebut melalui jalan darat dari Kota Kinabalu. Perjalanan bas selama beberapa jam ke Bandar Seri Begawan melintasi 8 pos imigresen (4 Malaysia , 4 Brunei), jadi bagi anda yang tidak mahu turun-naik berbaris untuk berulang kali cop passport, anda digalakkan menggunakan laluan udara.

1. Melawat Masjid Omar Ali Saifuddien

Masjid Omar Ali Saifuddien ialah lambang kemegahan negara ini dan sering muncul dalam poster, Instagram ataupun promosi kerana keindahannya. Dikelilingi lagun atau tasik buatan manusia, masjid ini menjadi tumpuan para jurugambar di waktu malam kerana pantulan imej yang seakan simetri apabila terkena cahaya gemerlapan dari lampu-lampu yang mengelilinginya. Dibina menghadap Sungai Brunei, anda juga boleh melawatnya sepuas hati di siang hari.

2. Jelajah Bot Sepanjang Sungai Brunei

Sama ada ingin menyewa bot separa mewah ataupun bot bajet, pastikan anda meluangkan masa 2 jam menjelajah sepanjang Sungai Brunei. Bagi yang ingin berjimat, silalah ke dermaga Waterfront dan berunding terus dengan pengemudi bot tempatan. Sepanjang sungai, anda akan disugguhkan dengan pemandangan hutan bakau, perkampungan di atas air, hidupan liar seperti buaya dan monyet proboscis serta beberapa buah Istana Diraja.

3. Melihat Kehidupan Warga Tempatan di Kampung Ayer

Dianggarkan lebih 13 ribu warga Brunei memilih untuk mendiami 40 kawasan perkampungan di atas air. Berbeza dengan perkampungan air di Malaysia yang sinonim dengan kemiskinan, Kampung Ayer di negara ini mempunyai nilai sejarah dan serba lengkap dengan kemudahan asas seperti kemudahan elektrik, balai bomba, kedai, masjid, hospital dan sekolah. Melirik ke dalam rumah mereka, anda pasti akan terkejut dengan keadaan hidup mereka yang serba selesa.

4. Jungle Trekking di Taman Negara Ulu Temburong

Taman Negara Ulu Temburong ialah taman yang pertama di negara ini dibuka pada tahun 1991, terletak di daerah Temburong. Seperti lazimnya sebuah taman negara, kawasan ini dilindungi dan dikatakan mendapat peruntukan yang besar dariapda Kerajaan untuk pemuliharaan. Pelancong yang berminat boleh menjelajah hutan dan melihat pemandangan menarik dan hidupan liar dari jambatan kanopi.

5. Mencuba Makanan Tempatan di Pasar Malam Gadong

Setiap hari mulai jam 4 malam, Pasar Malam Gadong akan mula beroperasi. Banyak gera-gerai yang menjual menu tempatan boleh didapati di sini. Pastikan anda mencuba Nasi Katok, sejenis sajian asli negara Brunei. Sekiranya anda ingin mencuba kuih muih, bolehlH berkunjung ke Tamu Kianggeh, berdekatan Kampung Ayer yang beroperasi seawal 6.00 pagi.

6. Melihat Artifak Diraja di Royal Regalia Museum dan Muzium Brunei

Terdapat beberapa muzium yang menarik di Bandar Seri Begawan. Dua jenis muzium yang utama ialah Royal Regalia yang mempamerkan peralatan kebesaran mewah Diraja Brunei dan Muzium Brunei yang menyimpan khazanah bersejarah negara tersebut. Untungnya, hampir kesemua muzium di negara ini tidak mengenakan bayaran masuk untuk warga tempatan dan pelancong!

7. Mencuba Permainan di Jerudong Park

Jika anda datang dengan keluarga dan membawa anak-anak, berkunjunglah ke Jerudong Park. Mula dibuka pada tahun 1994, taman rekreasi ini dahulunya adalah taman tema yang terbesar di Asia sebelum disaingi oleh beberapa taman tema negara lain.

Sebenarnya Brunei banyak tempat yang korang boleh pergi, namun paling mencuti perhatian sudah semestinya makanan yang ada di Brunei menjadi pilihan kami untuk jelejah. Selain sedap makanan di Brunei juga boleh dikatakan murah berbanding tempat lain.

 

Destination: