Joe Flizzow 'Sound' Artis Mengenai Isu Perkongsian Jelik Seorang Pelakon

October 21, 2021 - 03:12 PM


Penyanyi rap tersohor tanah air, Joe Flizzow meluahkan rasa berang susulan penularan satu video yang membabitkan pelakon Fauzi Nawawi ketika rancangan bual bicara, Rumah 107.

Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Ciao itu memuat naik beberapa hantaran video di Instastory yang tampil meluahkan marahnya serta menyifatkan isu berkenaan tidak sepatutnya disiarkan umum.

Tambah Joe lagi, golongan selebriti seharusnya menjadi teladan dan ikutan yang baik kepada orang ramai.

“Kepada artis-artis atau hos televisyen di luar sana yang ingat isu rogol atau dera dan gangguan seksual ini kelakar, kamu semua baik berhenti kerja lah.

“Pakailah otak sedikit, kamu semua ini sebagai contoh tidak sepatutnya mempromosi isu bodoh seperti ini,’ katanya di Instagram.

Mengulas lanjut, penyanyi rap itu turut menegaskan isu seperti ini tidak sepatutnya menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Saya malas nak dedah kamu, tetapi apa saya perlu katakana cukuplah… saya memang patut cakap fasal perkara ini.

“Jadi saya nak cakap. Ini bukan budaya yang sepatutnya ada di Malaysia. Jangan rosak pemikiran,” ujarnya.

Fauzi Nawawi baru baru ini, telah mengundang kecaman warganet apabila secara terbuka menceritakan pengalaman ketika pembikinan babak rogol bersama pelakon Raja Farah ketika membintangi filem Anak halal.

Bagaimanapun, pelakon tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak terlibat yang terkesan dengan keterlanjuran katanya, sebelum ini.