Makan Sambil Belajar Serba-Serbi Tentang Durian Di Ekspo Durian KL!
FOODIEBuat julung kalinya Ekspo Durian Kuala Lumpur 2019 akan dianjurkan di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Kuala Lumpur pada hujung minggu ini iaitu 26 hingga 28 Julai.
Menurut Bernama, ekspo tiga hari itu yang disokong Tourism Malaysia dan Jabatan Pertanian akan menyaksikan perhimpunan profesional dan penggemar durian terbesar itu dari Malaysia dan luar negara.
Ribuan pengunjung dijangka tidak melepaskan peluang mengunjungi pelbagai gerai pameran perdagangan yang mempamerkan pelbagai produk berkaitan raja buah itu.
Malah, pengunjung juga berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis durian semasa bufet raja durian itu berlangsung atau boleh membeli dan makan durian secara ala carte di tapak ekspo.
Spesies durian terkenal seperti Musang King dari Pahang dan durian ‘Duri Hitam’ dari Pulau Pinang turut dijangka akan menjadi tumpuan sepanjang ekspo ini.
Penggemar durian bakal memperoleh pelbagai maklumat mengenai produk durian serta lawatan ke dusun durian dan pusat peranginan, manakala peserta perdagangan dan perniagaan berpeluang mengenali pemain industri lain.
Ekspo itu turut menganjurkan seminar, simposium dan peluang untuk mengembangkan rangkaian perhubungan dalam kalangan pengusaha utama sektor itu dari seluruh dunia.
Turut dianjurkan demonstrasi memasak dan sesi tandatangan buku oleh alumni Master Chef United Kingdom, Zaleha Kadir Olpin pada 26 Julai dan ceramah mengenai durian oleh perunding perladangan serta blogger yang juga penulis durian, Lindsay Gasik.
Ekspo percuma ini bermula dari 10 pagi hingga 8 malam, manakala bufet dan seminar dikenakan bayaran.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web di http://www.durianexpo.com.