Susah Cari Daging Wagyu Halal? Hisashi, Bangi Resort Hotel Kini Tawar Hidangan Jepun Itu!

FOODIE
January 06, 2022 - 12:47 PM


Bermula hari ini (6 Jan) -- orang ramai berpeluang menikmati daging lembu wagyu halal di Restoran Hisashi yang terletak di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Hisashi telah diambil alih oleh AAH Nippon, sebuah syarikat pengeksport daging wagyu halal pada 20 Nov tahun lepas -- sekali gus membolehkan restoran itu menghidangkan menu berasaskan daging wagyu halal.

Pemilik restoran berkenaan Akmal Abu Hassan berkata daging wagyu daripada Jepun itu disahkan halal dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Persatuan Muslim Jepun Profesional (MPJA).

“Daripada proses pembekalan lembu sehingga ke rumah penyembelihan, setiap langkah dalam proses penyembelihan itu dipantau dengan teliti oleh MPJA. Sebagai contoh, ketika proses sembelihan, struktur tengkorak lembu itu akan dipastikan agar tidak patah.

Malah pihak berkuasa menjalankan audit setiap tiga bulan di dalam rumah sembelihan iaitu dengan menemu bual tukang sembelih mengenai sebarang perubahan dalam operasi itu. Selain itu, seorang eksekutif halal akan turut ditempatkan di situ bagi memastikan proses penyembelihan dijalankan mengikut standard halal yang ditetapkan JAKIM dan MPJA.

“Justeru, tidak perlu ragu-ragu kerana daging wagyu yang kita hidangkan di Hisashi ini dijamin halal dan selamat untuk dinikmati semua,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Akmal berkata misi Hisashi adalah untuk mendedahkan masyarakat Malaysia mengenai cara yang betul  menikmati daging wagyu di samping merasai sendiri standard khidmat pelanggan orang Jepun.

“Kita sering melihat daging wagyu tidak halal diimport ke Malaysia. Oleh sebab itu, misi Hisashi bukan sahaja untuk membawa daging wagyu asli yang halal ke pasaran tempatan, tetapi juga mahu memperkenalkan seni menikmati dan menghidang daging wagyu kepada masyarakat Malaysia.

Kakitangan kami dilatih untuk mengikut standard khidmat pelanggan Jepun dengan mengamalkan ‘omotenashi’, satu konsep hospitaliti dari Jepun,” kata Akmal.

Sementara itu, pemilik bersama Hisashi Ajwad Abu Hassan berkata Hisashi berharap untuk memperkenalkan cara yang lebih baik menikmati daging lembu.

“Di Malaysia kita biasa makan daging lembu yang dimasak sebagai stik. Rakyat Malaysia tidak perlu lagi merantau jauh ke timur untuk menikmati daging wagyu asli, kerana kini daging wagyu yang dihidang ala Jepun ada di Hisashi,” katanya.

Restoran itu menawarkan set makan tengah hari dan makan malam berharga dari RM80 dan set yakiniku (panggang) dari RM250.

Untuk maklumat lanjut, layari www.bangiresorthotel.com/dining/hisashi/ atau hubungi talian 019-653 7072.

Sumber & Kredit Gambar: BERNAMA

Destination: