Dah Ke Perlis, Jangan Lupa Singgah Sini - 5 Kafe Terbaik Di Perlis Dengan Konsep Unik

FOODIE
July 24, 2023 - 03:11 PM


Perlis sering menjadi usikan orang ramai yang dikatakan hanya dihuni '4 orang' sahaja dalam negeri ini kini banyak kafe yang menjadi tumpuan apabila singgah ke negeri Utara ini.

Biarpun tarikan banyak tertumpu kepada pelancongan berasaskan alam semulajadi, namun ia berjaya menggamit kedatangan pelancong baik dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Bukan hanya menawarkan view yang cantik, Perlis juga turut tawarkan pengalaman kulinari yang menambat selera. Lebih syok, makanan yang dijual di sini jauh lebih murah berbanding tempat lain terutama kuih-muihnya.

Nak dibanding lima ke sepuluh tahun lalu, memang susah mencari kafe yang menjual pelbagai minuman kopi dan makanan. Seiring dengan peredaran masa, pilihan tempat makan di Perlis juga makin lama makin banyak. Warga tempatan di sana sudah mulai berani mencuba bidang bisnes kafe ini dan ternyata menjadi!

Kalau dah ke Negeri Indera Kayangan ini jangan lupa untuk mencuba makanan dan minuman di kelima-lima kafe yang menjadi tumpuan. Tarikannya termasuk suasana, persekitaran, makanan dan kopi yang enak. Min bagi anda 5 kafe di Perlis dengan keunikannya sendiri.

1. Ngopi Kangar

Melangkah masuk ke kafe ini anda akan terus terlihat kaunter utama yang turut mempamerkan pastri yang ada dalam menu. Ada almond bar, apple strudel, pineapple Danish, twist vanilla dan banyak lagi. Baunya sangat-sangat harum memang menambat nafsu makan anda!

Selain itu anda juga boleh memesan pelbagai jenis sandwich seperti ciabatta chicken salami, croissant honey mustard chicken, French baguette Thai Mayo Chicken dan panini streaky beef.

Untuk pilihan kopi atau teh, tidak mengecewakan. Pilihan agak banyak dan harganya juga berbaloi. Cuma tiada pilihan saiz dan cawan atau gelas yang digunakan agak kecil. 

Latte dan machiato antara pilihan kopi yang di-rekemen kepada anda yang sukakan kopi bersama susu namun hanya dihidangkan dalam gelas yang kecil. Dah sedap tapi tak puas minum!

Ngopi Kangar

Alamat : No. 51, Tingkat Bawah, Bangunan Koperasi Pegawai Kerajaan, 01000, Kangar

Waktu Operasi : Dibuka setiap hari (10am - 10.30pm), Jumaat (3pm - 10.30pm)

2. Rumah Kupi

Terletak di Kampung Kersik Tengah, Mata Ayer, kafe yang berlatarkan suasana kampung ini memang layak dikunjungi untuk acara minum petang. Rumah Kupi ini punya identiti tersendiri kerana ia diusahakan di sebuah rumah kampung tradisional milik keluarga tuan empunya kafe.

Rumah lama yang dijadikan kafe ini selalu sangat jadi tempat persinggahan orang yang ke negeri utara ni sebab inginkan vibe kampung tu. Dah sampai, tak sangka pula makanan dan kopi di sini cukup sedap dan berbaloi untuk 'repeat' lagi. Tambah pula pelanggan boleh memilih untuk makan bersila, memang rasa seperti di kampung-lah.

Antara minuman yang patut anda cuba di Rumah Kupi adalah  Kopi Cengkih, Minyak Tumpah, Kopi Senja, Dirty Matcha beserta Millate yang merupakan minuman istimewa mereka.

Untuk pilihan makanan, ada citarasa kampung dan juga citarasa moden seperti nasi lemak sotong, nasi lemak ayam berempah, meatball dan kentang lenyek, pulut udang, croissant coklat dan beberapa jenis pastri.

Rumah Kupi

Alamat : 60A, Kampung Kersik Tengah, Kampung Mata Ayer, 02500 Kangar, Perlis

Waktu operasi : 1pm - 10pm (Ahad tutup)

3. Tentang Kopi

Tentang Kopi juga menjanjikan pengalaman menjamu selera yang tidak kurang hebatnya. Kafe kecil di Kampung Nesam, Kangar ini pernah dikunjungi pelakon Nora Danish dan beberapa rakan lain ketika dia sedang menjalani penggambaran tidak beberapa lama dahulu.

Pilihan kopi di Tentang Kopi sangat kreatif kerana ia bukan sekadar menghidangkan menu biasa yang boleh didapati di mana-mana, tetapi ia juga mempersembahkan minuman yang agak istimewa seperti Black Forest Latte, Hazelnut Cocoa, Crème Brulee Latte dan Pandan Café Latte. Selain itu, ada juga jus buah-buahan jika anda mahukan pilihan yang lebih sihat dan menyegarkan.

Tentang Kopi mempunyai seleksi makanan yang lebih banyak. Jika melihat kepada daftar menu, ada kategori pasta, Asia, barat, snek  dan juga hidangan utama yang terdiri daripada menu kegemaran tempatan dan Thailand. 

Antara yang menarik perhatian adalah Nasi Goreng Cili Tumbuk, Set Ayam Buttermilk, Set Ayam Ijo,  Pizza Kentang Goreng  serta  menu kegemaran ramai Carbonara Tomyam Spaghetti. 

Tentang Kopi

Alamat : NO 68, Kampung Nesam, Jalan Bintong, 01000, Kangar,Perlis

Waktu operasi : Sabtu hingga Khamis (2pm - 9.30pm), Jumaat tutup.

4. Ahli Kopi Kangar

Kafe seterusnya yang boleh dimasukkan ke dalam itinerari anda ialah Ahli Kopi Kangar yang menghidangkan macam-macam kopi yang sedap dan kena pada tekak sesiapa yang meminumnya.

Kopi sedap ditambah pula dengan kelebihan harganya yang murah betul-betul buat anda tertambat hati bila dah masuk ke Ahli Kopi ini. Pilihan kopinya terdiri daripada cafe latte, cappucino, mocha, long black, flat white dan pelbagai kopi berperisa yang akan menjadi kegemaran bila dah minumnya.

Dessert kat sini toksah cakaplah. Mocha dan latte memang 'ngam' digabungkan dengan pastri seperti croissant.

Ahli Kopi Kangar

Alamat : Jalan Penjara, Pusat Bandar Kangar, 01000 Kangar, Perlis

Waktu operasi : Setiap hari (8.45am - 7.00pm), Jumaat tutup 

5. Kupi Kahfi

Pernah tak terfikir untuk lepak dan minum kopi di dalam gua. Dalam gua weh! Kupi Kahfi berikan anda pengalaman berbeza kepada pengunjung yang datang ke Bukit Tau Adventure Park.

Duduk makan dalam gua ni sangat dingin dan suasana redup memang akan buat anda menyebut "woww" sepanjang di Kupi Kahfi ini.

Kafe Kupi Kahfi ini menghidangkan kopi yang bermula dari RM5 hingga RM8 mengikut kepada jenis kopi dan di sini juga menghidangkan makanan yang simple sesuai dengan 'feel' healing korang seperti air batu campur (ABC), roti bakar dan waffle. Bukan setakat kopi je tau yang sedap di sini, ABC di Kupi Kahfi pun min recommend juga untuk korang sejukkan tekak lebih-lebih lagi cuaca kadang panas kadang sejuk ni.

Kupi Kahfi

Alamat : Bukit Tau Adventure Park, Kampung Padang Lati, Beseri, Perlis

Menarik-kan semua kelima-lima kafe yang berada di Perlis ni. Perlis ni anda sebut je nak makan apa, semuanya murah-murah walaupun di dalam kafe. Harganya tak sama seperti di kebanyakan bandar dan dengan boleh bawa keluarga empat orang makan dengan hanya RM50.

Jangan sangka Perlis tiada apa-apa tau. Ini antara kafe yang patut anda singgah jika menjejakkan kaki di sana. Ada banyak lagi tarikan pelancong di Negeri Bawah Bayu ni.

Destination: