Kafe Kupi Kahfi - Port Mengopi Dalam Gua Di Perlis
FOODIETrend healing sekarang semakin meningkat sejak negara mula pulih daripada Covid-19, ditambah pula dengan lambakan tempat healing menarik sesuai dengan keadaan sekarang di mana warga bandar mencari tempat bersantai yang dekat dengan alam semulajadi.
Healing tidak asing lagi buat masyarakat kini yang inginkan ketenangan dan dalam masa yang sama menghirup secangkir kopi kegemaran.
Mungkin korang sudah biasa dengar kedai kopi di tepian sungai, pantai, sawah padi atau di dalam hutan, akan tetapi tarikan terbaru di Perlis ni buat korang rasa macam nak pergi disebabkan korang boleh rileks dalam gua kapur sambil minum 'latte' dan suasana dingin.
Bayangkan korang tengah minum kopi sambil berbumbung dan berdindingkan batu kapur dan ditemani dengan bunyian radio lama.
Itu yang ditawarkan oleh Kafe Kupi Kahfi yang terletak di Bukit Tau Adventure Park, Kampung Padang Lati Beseri, Perlis ini yang hanya 10km sahaja dari Kangar dan sekitar 12 minit sahaja pemanduan ke sini.
Tanah pusaka milik persendirian berkeluasan 14 ekar itu dijadikan kedai kopi yang mampu menarik minat pelanggan.
Malah jika anda merupakan pengunjung ke Bukit Tau Adventure Park dan ingin melepaskan lelah selepas membuat aktiviti di situ, anda boleh singgah ke Kafe Kupi Kahfi ini untuk menghirup kopi segar.
Kafe Kupi Kahfi ini menghidangkan kopi yang bermula dari RM5 hingga RM8 mengikut kepada jenis kopi dan di sini juga menghidangkan makanan yang simple sesuai dengan 'feel' healing korang seperti air batu campur (ABC), roti bakar dan waffle.
Bukan setakat kopi je tau yang sedap di sini, ABC di Kupi Kahfi pun min recommend juga untuk korang sejukkan tekak lebih-lebih lagi cuaca panaih lit-lit sekarang ini.
Menurut pemilik Kupi Kahfi ini, Suhair Yaacob, mereka dalam perancangan untuk menambah menu-menu baharu bagi memenuhi selera pelanggan. Akan tetapi pilihan makanannya kemungkinan terhad bagi menjaga kebersihan kawasan di dalam dan persekitaran gua.
Kupi Kahfi ini hari demi hari semakin menjadi perhatian pengunjung dari luar Perlis yang ingin menikmati kopi dan suasana di sini yang tak dapat di tempat lain -- ditambah pula ramai yang memuat naik video mereka lepak di Kupi Kahfi sekaligus menarik minat mereka yang tontonnya.
Selain menikmati kopi dan pelbagai hidangan di Kupi Kahfi ini -- pelanggan juga boleh merasai pengalaman menaiki all-terrain vehicle (ATV) yang ditawarkan di Bukit Tau Adventure Park dengan harga berpatutan.
Suasana di Kupi Kahfi bukan sahaja tenang dek kerana suasana di dalam gua kapurnya, tetapi juga menjanjikan pemandangan cantik yang dapat dilihat di Bukit Tau Adventure Park ni ketika waktu senja.
Mai la bawa kerusi healing hampa dan lepak di sini!
ALAMAT: Bukit Tau Adventure Park, Kampung Padang Lati, Beseri, Perlis