Pesona Jeram Berungut, Taman Negeri Kenaboi Ibarat "Lord Of The Rings Malaysia"!

TRAVEL
July 05, 2023 - 06:10 PM


Bagi mereka yang inginkan ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan belantara --Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan adalah lokasi yang sesuai untuk anda.

Taman Negeri yang terletak di dalam Hutan Simpan Kenaboi ini mempunyai pelbagai tarikan istimewa untuk pencinta alam termasuk Jeram Berungut, Lata Dinding dan Gunung Besar Hantu.

Dari pintu masuk Taman Negeri Kenaboi ke Jeram Berungut mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.

Bagi menyertai ekspedisi ke Jeram Berungut ini, anda diingatkan untuk mengenakan pakaian dan kasut bersesuaian kerana perlu merentas dan menyeberang sungai.

Perjalanan diketuai jurupandu Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang berpengalaman dengan selok belok perjalanan ke lokasi terbabit serta dibekalkan dengan jaket dan tali keselamatan.

Sepanjang perjalanan, anda bakal diberikan penerangan oleh jurupandu berkenaan tumbuh-tumbuhan unik yang terdapat di sepanjang laluan.

Benar bagai dikata, cabaran untuk anda menyusuri dan menyeberang sungai bakal diuji kerana kedalaman dan kederasan yang berbeza.

Jadi sila awasi setiap langkah anda di atas batu licin di dalam sungai, takut ada yang tergelincir.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus perjalanan memerlukan pengunjung merentasi anak sungai.

Selepas hampir sejam perjalanan, tanpa disedari, anda akan berada di antara dua dinding besar dengan dipenuhi lumut hijau yang membentuk landskap semula jadi yang menarik.

Pada ketika itu, anda pasti dapat merasai vibes seolah-olah berada di lokasi penggambaran filem 'Lord Of The Rings.'

Masih terdapat kejutan lain kerana apabila pengunjung menyusuri hingga ke hujung celahan batu besar ini, iaitu ada air terjun yang mengalir deras.

Ia satu pengalaman yang cukup mengagumkan apabila dapat melihat sendiri keindahan alam semula jadi ini yang tersembunyi di tengah-tengah hutan belantara.

Jeram Berungut antara lokasi tumpuan bagi mereka yang inginkan kelainan di Taman Negeri Kenaboi.

Bagaimanapun ada syarat tertentu dikenakan kepada pengunjung iaitu hanya individu berusia 12 tahun ke atas sahaja boleh menyertai ekspedisi itu kerana laluannya yang agak mencabar.

Selain itu, terdapat tarikan lain di sini iaitu kepelbagaian flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat lain termasuk Rama-Rama Kebangsaan Rajah Brooke.

Selesai mengembara ke Jeram Berungut anda sebenarnya boleh juga melakukan aktiviti perkhemahan di tepi sungai yang bersih dan mengalir perlahan.

Terdapat 12 khemah pada satu-satu masa untuk memberi keselesaan kepada pengunjung bermalam di sana.

Pelbagai kemudahan turut tersedia termasuk dewan, tandas, rumah rehat, asrama dan sebagainya.

Perlu diingatkan juga ya untuk masuk ke Taman Negeri Kenaboi -- pengunjung perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dengan bayaran yang berpatutan.

Sumber & Kredit Gambar : Harian Metro & Negeri Sembilan kini

Destination: