Nak Bercuti Ke Hatyai? Ini 4 Cara Sampai Sana Dengan Mudah Dari Malaysia!

TRAVEL
July 18, 2023 - 01:32 PM


Cuti penggal persekolahan pada hujung Ogos ni semestinya anda ingin membawa keluarga bercuti, kalau bukan dalam negara, mesti ke luar negara. Kalau hanya bercuti dekat-dekat dan dalam negara saja, semestinya anda nak senang dengan menaiki kereta sendiri sahaja.

Adakala anda terfikir bagaimana kalau bercuti di luar negara tapi nak yang dekat-dekat je dan tak mahal. Hat Yai-lah jawapannya! Kos ke sana pun murah, nak ke sana pun tak lama jika anda menetap di negeri-negeri utara.

Hat Yai merupakan destinasi yang popular dalam kalangan pelancong dari Malaysia kerana percutian di sana berbaloi dan 'syurga' buat kaki shopping macam min.

Tak perlu pening-pening jika korang terfikir bagaimana nak masuk ke Hat Yai dari Malaysia. Ada pelbagai cara nak ke sana dan ini 4 kaedah termasuk menaiki bas, kereta, tren dan kapal terbang.

4 Cara Untuk Sampai Ke Hat Yai Dari Malaysia dengan Mudah.

Menaiki Bas 

Salah satu cara yang popular untuk pergi ke Hatyai adalah dengan menaiki bas. Banyak syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan dari pelbagai destinasi di Malaysia ke Hatyai. Bas ini biasanya berhenti di stesen bas di Hatyai yang terletak di tengah bandar Hatyai.

Jika anda ingin melancong secara individu atau berkumpulan, menaiki bas adalah pilihan yang sesuai untuk anda. Untuk semak harga tiket bas dan memeriksa jadual perjalanan bas sebagai rujukan, ini rekomendasi laman pembelian tiket bas:

Terdapat banyak stesen bas di Malaysia ke Hat Yai secara terus (direct bus) iaitu :

  • TBS (Terminal Bersepadu Selatan)
  • Hentian Duta
  • Terminal Bas Kajang
  • Bas Kepong @ Desa Complex Kepong
  • Terminal Bas Shah Alam Seksyen 17
  • Klang Sentral
  • Terminal 1 Seremban
  • Terminal Meru Raya (Ipoh Amanjaya)
  • KPB Bas Express JB Merlin Tower
  • Terminal Larkin Johor Bahru

Dua prosedur ringkas perjalanan ke Hat Yai dari Malaysia dengan menaiki bas : 

  1. Membuat tempahan tiket secara atas talian atau melalui kaunter tiket di stesen bas. Kebiasaannya laluan bas dari Kuala Lumpur menghala ke sempadan Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.
  2. Pemeriksaan imigresen akan dijalankan di stesen imigresen sempadan Malaysia - Thailand. Pastikan anda mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke Thailand.

Menaiki Kereta Api / Tren

Terdapat perkhidmatan kereta api di Malaysia yang membolehkan anda akses ke Hatyai, Thailand. Menaiki kereta api ke Hatyai ini sesuai untuk perjalanan secara solo, backpackers atau kumpulan kecil yang ingin menikmati pengalaman pemandangan sepanjang perjalanan.

Untuk semak harga tiket, periksa jadual dan mencari stesen kereta api berdekatan sebagai rujukan, ini rekomendasi laman sesawang :

Empat prosedur ringkas perjalanan ke Hat Yai dari Malaysia dengan menaiki kereta api :

  1. Tempahan tiket dari destinasi anda ke Padang Besar. 

​Anda perlu membuat tempahan tiket tren daripada destinasi stesen kereta api yang sesuai untuk anda memulakan perjalanan yang menghala ke Padang Besar. Rujuk laman web KTMB untuk info lanjut.

     2. Pembelian tiket di Padang Besar ke Hat Yai

Sebaik tiba ke stesen kereta api Padang Besar, anda perlu membuat pertukaran kereta api dari stesen kereta api Malaysia ke stesen kereta api Thailand dengan terus ke tingkat atas untuk pembelian tiket kereta api Special Railway Thailand (SRT) berharga sekitar 50 Baht (RM7) dan dapatkan borang kad putih daripada polis bantuan berdekatan.

       3. Pemeriksaan imigresen

Setelah selesai isi borang putih berserta dengan dokumen sokongan yang lain, terus ke Kaunter Imigresen Malaysia & Kaunter Imigresen Thailand menggunakan laluan yang disediakan.

       4. Pertukaran ke 'Special Railway Thailand' (SRT)

Sebaik selesai, terus ke platform no.2 untuk menaiki tren ke Hat Yai yang mengambil masa kurang dari 2 jam perjalanan. Terdapat 2 waktu pelepasan kereta api ke Hat Yai sahaja iaitu kereta api nombor 947 yang berlepas pada pukul 7:30 pagi dan nombor 949 pada pukul 2 petang.

Menaiki Kereta / Kereta Sewa

Jika anda lebih suka melancong dengan kenderaan sendiri atau kereta sewa, anda hanya perlu memandu ke Hatyai melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Pastikan anda mempunyai dokumen yang diperlukan untuk memudahkan perjalanan anda. Berikut merupakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Malaysia – Thailand :

  • Kedah : ICQS Bukit Kayu Hitam, ICQS Kota Putra
  • Perlis : ICQS Padang Besar, ICQS Wang Kelian
  • Kelantan : ICQS Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor, ICQS Bukit Bunga
  • Perak : ICQS Bukit Berapit

Empat prosedur ringkas perjalanan ke Hat Yai dari Malaysia dengan menaiki kereta / kereta sewa

  1. Sediakan dokumen perjalanan yang lengkap

Pastikan pasport anda mempunyai baki sah laku sekurang-kurangnya enam bulan dan dinasihatkan untuk membawa salinan pasport dan dokumen pengenalan lain sebagai dokumen sokongan.

Antara dokumen yang diperlukan adalah:

  • Maklumat TM2 Borang Pengangkutan. (2 salinan)
  • Borang Senarai Penumpang TM3 (Hanya jika anda menunggang/memandu dengan penumpang). (2 salinan)
  • Kad TM6 (Kad putih Ketibaan/Berlepas). (Boleh didapati di kaunter imigresen)
  • Borang Import/Eksport sementara kastam yang dipermudahkan. (Akan diberikan oleh Thailand)
  • Lesen memandu diiktiraf di Thailand. (Diperlukan sama ada lesen memandu ASEAN atau IDP)
  • Salinan Cukai Jalan dan Insurans yang sah (Fotokopi boleh diterima tetapi anda perlu mendapatkan pengesahan dokumen di balai polis berhampiran sempadan)
  • Kad pendaftaran kenderaan ( Setelah disahkan, pegawai akan memberikan slip kepada anda)

       2. Pilih pusat pemeriksaan sempadan

ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Padang Besar di Perlis adalah dua pusat pemeriksaan yang sering digunakan. Selidik dan pilih pusat pemeriksaan yang paling sesuai untuk rancangan perjalanan anda.

       3. Pemeriksaan imigresen

Teruskan ke pusat pemeriksaan imigresen Thailand dan serahkan dokumen perjalanan anda kepada pegawai imigresen Thailand. Jawab sebarang soalan atau berikan maklumat tambahan jika diminta.

       4. Pemeriksaan kastam

Lanjutkan ke pemeriksaan kastam bagi menjalani pemeriksaan bagasi. Patuhi arahan yang diberikan dan isytiharkan apa-apa perkara yang diperlukan bagi meneruskan perjalanan anda ke Hat Yai.

Menaiki Kapal Terbang

Selain daripada ia sesuai dinaiki oleh semua pelancong, menaiki kapal terbang adalah pilihan yang cepat dan sesuai bagi mereka yang ingin menjimatkan masa perjalanan dan memilih keselesaan.

Antara syarikat penerbangan yang membuat penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia ke Lapangan Terbang di Hat Yai secara terus adalah :

  • Batik Air (Malindo Air)
  • Thai AirAsia
  • AirAsia
  • Thai Lion Air

Tiga prosedur ringkas perjalanan ke Hat Yai dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang : 

  1. Membuat tempahan tiket penerbangan dari bandar utama di Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai.
  2. Lalui proses pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
  3. Teruskan perjalanan ke Hat Yai dari Malaysia.

Sekiranya anda ingin melancong ke Hatyai, alternatif di atas dapat membantu anda merancang perjalanan yang mudah dan menyeronokkan.

Pastikan anda merujuk kepada jadual dan syarat-syarat pengangkutan yang terkini sebelum membuat keputusan perjalanan. Selamat bercuti di Hatyai!

Sumber : CariDestinasi

Destination: