Ini Antara Sebab Kenapa Flight Dari KL Ke Sabah & Sarawak Lebih Mahal Bagai Terbang Ke London

TRAVEL
August 12, 2024 - 08:05 PM


Perkongsian aku pagi tadi mengenai pintu laluan keluar/masuk di point VPK di Pekan Pahang mendapat beberapa pertanyaan dari rakan sahabat yang baru follow aku.

Ia tentang mengapa pihak ATC Singapura yang mengawal radio komunikasi pesawat sebaik sahaja pesawat melalui Vor/Dme VPK yang terletak di Pekan pahang menuju ke Sabah dan Sarawak.

Ok begini ceritanya...Isu tentang kawalan ruang udara Malaysia dan Singapura khususnya di selatan tanahair ni sebenarnya dah lama jadi duri dalam daging antara Malaysia dan Singapura.

Dari gambar di bawah tu, nampak tak betapa besarnya ruang udara yang dikawal oleh Singapura dibawah "SINGAPORE FIR".

Apakah itu FIR atau biasanya disebut "Flight Information Region". Bagi memudahkan pemahaman pembaca, FIR tu adalah seperti sebuah wilayah di udara yang dikawal oleh pihak authoriti yang berkuasa ke atas wilayah tersebut.

Malaysia pada 2019 telah pun menyatakan hasrat untuk mengambil kembali ruang udara di sebelah Selatan Semenanjung Malaysia, yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Singapura sejak 1974, secara berperingkat.

Perkara itu telah pun dirancang sejak tahun 2019 dan berharap ia boleh dicapai pada akhir tahun 2023.

Tidak pasti apakah perkembangan terkini mengenai rancangan pengambilalihan itu sekarang. Dah masuk tahun 2024 pun ni, masih senyap tiada berita.

Sebaliknya pula, pihak indonesia telah mengambil kembali kawalan udara yang berada dikawasan miliknya sekitar Pulau Natuna di tengah² Laut China Selatan antara Semenanjung dan Sarawak sana.

Ketika ini, ruang udara kita ini masih lagi di letakkan di bawah pengurusan Singapura melalui Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974).

“Perlu ambil maklum, ketika OLOA 1974 itu ditandatangani, Kawasan Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur (MALAYSIA FIR) masih di peringkat awal, dan fasiliti Malaysia ketika itu tidak mencukupi.

Atas sebab itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesyorkan agar penjagaan ruang udara itu diwakilkan kepada Singapura.

Ada banyak sebab mengapa negara kita perlu segera mengambil kembali ruang udara milik kita yang telah lama diserahkan kepada Singapura untuk mereka menjaga dan mengawal selianya.

Sebagai contoh, setiap kali pergerakan pesawat tentera kita bergerak dari Semenanjung menuju ke Borneo atau sebaliknya, perlu lapor kepada pihak ATC di Singapura.

Sebab itu pilot kita tak boleh suka² hati je nak start kapal lepas tu nak terbang balik dari Sabah/Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

Perlu mendapat "izin" dahulu (kebenaran) dari dua negara jiran kita untuk melalui ruang udara yang dikawal selia oleh mereka.

Negara kita telah pun merdeka hampir 67 tahun lamanya. Dan sejak dulu Singapura telah menjaga ruang udara kita selama hampir 40 tahun juga.

Aku pasti kita juga mampu menjaga tanahair dan ruang udara kita sendiri dan sudah sampai masanya kita ambil semula hak kita seperti mana negara jiran kita Indonesia.

YB² ahli parlimen kita tahu ke pasal isu ini agak-agaknya. Dari bergaduh bahas isu entah apa², baik YB² bincangkan isu ruang udara kita.

At least ada faedahnya juga... Moga kalian belajar sesuatu hari ini - Mohd Ezairol Rezan Zainol