Aktiviti Rekreasi Di Dabong Kelantan Buat Peminat Sukan Lasak
Jika ke Kelantan jangan lepaskan peluang untuk melakukan sukan rekreasi di Dabong Kelantan. Terutama bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak. Paling menjadi tarikan di Dabong ini sudah semestinya Air Terjun Jelawang yang juga merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara setinggi 305 meter. Apa yang menarik tentang air terjun ini adalah aliran airnya bukanlah seperti air terjun yang lain sebaliknya airnya mengalir dari celah-celah batu yang tinggi.
Pada 6 hingga 8 April 2018, seramai 50 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (Kampus Kota) dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan telah mengikuti lawatan ke Kem Madrasah Tarbiyah Al-Aulad di Sungai Kenerong, Kampung Stong, Dabong Kelantan dengan kerjasama KBX Reramaria Enterprise dan Kelab Rekreasi Kelantan. Lawatan ini dijalankan selama 3 hari 2 malam dibawah subjek Pengurusan Rekreasi dan Senggang (ATS 3063).
Terdapat banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Dabong, Kelantan antaranya ‘Tree Climbing’, ‘Zipline’, ‘Water Tubing’ dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga tempat pelancongan yang menarik di sekitar Dabong yang boleh dilawati dan diterokai seperti Gua Ikan, Gua Keris dan Gua Pagar yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Kami diiringi oleh beberapa orang jurulatih yang berpengalaman untuk menjaga keselamatan kami sepanjang aktiviti sedang dijalankan.
Aktiviti yang dianjurkan ini secara tidak langsung dapat melepaskan diri daripada tekanan hidup di Bandar dan juga dapat merehatkan minda para pelajar daripada kesibukan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tujuan utama kem ini dijalankan adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang kepentingan menjaga alam semulajadi untuk generasi akan datang dan mengekalkan kualiti ekosistem supaya tidak terjejas dengan pembangunan.
Untuk sebarang maklumat, para pengunjung yang ingin merasai pengalaman yang mencabar di Dabong, Kelantan boleh menghubungi di talian 017-9635644.
Kredit: Norsyarafana Binti Lazzri, Azila Binti Shah Budin, Nuratiqa Binti Shahrizal, Nur Amira Binti Tajuddin, dan Nor Azlin Binti Mohd Sidik.