'Jambatan Angkat' Jadi Mercu Tanda Ikonik Baharu Terengganu
TRAVEL‘Draw-Bridge’ atau jambatan angkat yang menjadi mercu tanda ikonik Terengganu bakal beroperasi sepenuhnya pada awal Jun depan iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Jambatan angkat yang terpanjang di dunia itu terletak di Kuala Terengganu, menghubungkan muara selatan di Pusat Bandaraya (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir.
Jambatan ikonik pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara itu dibina sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut dan membabitkan kos RM248 juta.
Kenapa ia digelar ‘jambatan angkat’? Kerana tentulah jambatan ini boleh dinaikkan di bahagian tengahnya untuk memudahkan laluan kapal-kapal besar dan bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Setiap kali dinaikkan (dibuka untuk laluan kapal) ia akan mengambil masa 20 minit dan begitu juga untuk diturunkan (dibuka kepada kereta dan motosikal) turut mengambil tempoh sama, 20 minit.
Walaupun ‘Draw-Bridge’ tersebut belum siap sepenuhnya, namun ia sudah menjadi tumpuan penggemar gambar panorama cantik yang tertarik dengan reka bentuk jambatan unik ini.
Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan tersebut turut disokong dengan dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanannya.
Jambatan angkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 dan ruang solat serta bilik air di tingkat 13.
Manakala di bahagian selatan pula terdapat galeri untuk pengunjung menikmati keindahan panorama malam bandar Kuala Terengganu.
Dengan pembukaan jambatan angkat ini secara rasmi sebelum Hari Raya, ia dijangka mampu membantu mengurangkan kesesakan trafik terutama setiap kali cuti musim perayaan.
Jadi, lepas ni seronoklah orang Ganu dah tak perlu nak hadap jammed atas jalan masa Raya nanti.