10 Tempat Menarik Di Hat Yai Dan Songkhla, Thailand

June 28, 2019 - 04:28 PM


Terletak di bahagian selatan Thailand dan dekat dengan sempadan Malaysia, tidak hairanlah jika terdapat ramai orang kita dan kereta-kereta yang bernombor pendaftaran Malaysia di sana.

Walaupun bukanlah menjadi tempat pilihan pelancong antarabangsa yang lain, ini bukan bermakna tiada apa yang menarik di Songkhla. Ada banyak tempat menarik di Songkhla sebenarnya.

Kalau nak diikutkan, populasi disini majoritinya beragama Buddha dan dari segi kaum, terdapat Thai, cina dan melayu. Tidak hairanlah kita kadang-kadang boleh terdengar ada orang yang boleh berbahasa melayu.

Menariknya di Songkhla ini, disebabkan ianya bukanlah bandar yang besar, kebanyakan tempat tarikan dan popular yang sering dikunjungi pelancong berada di kawasan Bo Yang. Jadi, kalau nak jimat untuk pengangkutan, pilih hotel yang terdapat sekitar Bo Yang.

Berikut adalah 10 tempat menarik dan tarikan di Songkhla, Thailand :

#1. Tangkuan Hill

Tangkuan Hill ini merupakan kawasan bukit yang tinggi di Songkhla dan dari sini, kita  boleh saksikan seluruh bandar Songkhla.

Disini sebenarnya ada macam kereta kabel ataupun lebih kurang macam keretapi dekat Bukit Bendera, Pulau Pinang tu untuk naik. 30 baht akan dikenakan. Kalau nak bersenam sikit, panjatlah tangga dan korang akan temui Sala Phra Wihaan Daeng. Ia merupakan binaan yang didirikan atas arahan Raja Rama V selepas lawatannya ke sini pada lewat kurun ke-19.

 

#2. Songkhla Old Town

Songkhla Old Town merupakan salah satu lokasi menarik di sini. Sekali pandang, bangunan-bangunan disini seakan-akan di Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain.

Bangunan lama dijaga rapi untuk mengekalkan tradisi dan seni bina lama untuk menjaga nilai esterik kawasan ini, untuk menarik lebih banyak pelancong. Disini ada banyak tempat ‘street art’ yang mana beberapa mural yang dilukis pada dinding-dinding bangunan.

Dikhabarkan, bangunan-bangunan disini sudah dibina sejak kurun ke-19 dan ianya lokasi yang sangat ideal untuk Instagram korang.

 

#3. Samila Beach

Samila beach merupakan pantai yang agak popular di Songkhla. Walaupun popular, tidak digalakkan sangat untuk mandi di sini disebabkan ada ancaman obor-obor. Waktu kami disini, banyak papan tanda dan notis amaran diletakkan sekitar kawasan pantai.

Pantai Samila memang panjang dan waktu petang disini sangat meriah. Ada orang berniaga, ada yang main muzik dan tak kurang juga yang berjogging.

Tarikan utama disini adalah Golden Mermaid, sebuah patung ikan duyung yang dipercayai membawa kekayaan kepada rakyat Songkhla.

Tips : Datang waktu petang, sekitar 4 atau 5 – dapat gambar yang sangat cantik. Mermaid + sunset. Cuma kena pandai-pandai lah ambil giliran. Ramai yang nak bergambar disini.

 

#4. Song Thale Park

Jujur cakap, disini memang banyak taman-taman awam. Salah satunya adalah Song Thale ni. Kawasan ini dibina cantik untuk kegunaan orang tempatan untuk beriadah.

Tarikan disini adalah ‘Nag’ sebuah binaan berbentuk kepada naga yang mengeluarkan air menghadap Tasik Songkhla. Nag sebenarnya adalah seekor ular (berkepala naga) yang dipercayai oleh penduduk tempatan mengeluarkan ‘air suci’ yang memberikan kebahagiaan, kesihatan dan juga kesuburan kepada Songkhla.

Kalau berkesempatan, korang boleh nampak orang datang dan beri penghormatan atau sembahyang kepada Nag. Nag sebenarnya terbahagi kepada 3 bahagian. Kepala (simbol kecerdikan dan kepandaian orang di bandar Songkhla), badan (yang melambangkan kekayaan) – bahagian badan ada di Chaloem Phrakiat dan bahagian ekor di Chalatat Road (melambangkan kekuatan dan karisma).

 

#5. Chalatat Beach

Salah satu lagi pantai yang ada di sini ialah Chalatat Beach. Dari segi aktiviti, tak banyak yang korang boleh lakukan dekat sini. Mungkin kalau korang suka, boleh la lepak untuk nikmati pemandangan.

Kalau nak diikutkan, dia sebenarnya bersambung dengan Pantai Samila tadi. Disebabkan ia menghadap ke utara, dekat sini boleh korang nikmati pemandangan matahari naik atau sunrise. Lagi satu, ekor Nag tadi ada berdekatan kawasan ni.

 

#6. Songkhla National Museum

Terletak di Wichian Chom Road, Muzium Songkhla ini dibina pada 1878 dan mempunyai seni binaan cina. Pada asalnya, bangunan muzium ini digunakan sebagai tempat tinggal pemerintah Songkhla kemudian pejabat pegawai pentadbir tempatan sebelum diubah menjadi muzium yang memaparkan artifak selatan pada 1953.

Kalau minat sejarah, patut korang jejakkan kaki ke muzium ini. Sebabnya antara koleksi yang terdapat dalam muzium ini adalah kepunyaan keluarga Na Songkla. Keluarga yang pernah memerintah Songkhla suatu masa dulu.

Waktu operasi muzium adalah dari hari Rabu hingga Ahad pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari. Kemudian sambung pada 1 petang hingga 4 petang.

 

#7. Khao Kao Seng

Lebih kurang 3 kilometer daripada selatan Hat Samila, terdapat sebuah tempat nama Khao Kao Seng yang terkenal sebagai perkampungan nelayan dan merupakan pantai yang sering dilawati di Songkhla.

Tarikan di sini adalah formasi batu yang dinamakan Hua Nai Raeng yang mempunyai nilai sejarah sendiri iaitu diceritakan gabenor bandar bersebelahan yang bernama Nai Raeng telah membunuh diri disini sebelum menanam keseluruhan hartanya yang bernilai 900 juta baht dibawah batu ini.

Disini juga dibina platform untuk korang berjalan-jalan dan banyak ‘spot’ untuk korang bergambar disini.

Tips : Sini banyak anjing, jadi kalau jalan tu, berhati-hatilah. Pandang bawah, takut terpijak tahi. Hehe. Untuk bergambar, korang turun ke kawasan pantai, panjat sikit batu tu. Gambar cantik waktu sunset.

 

#8. Lee Subsin Market Precint

Subsin Market ni antara salah satu kawasan ‘pasar’ yang ada di Songkhla. Kawasan ini, memang banyak kedai-kedai diluar dan didalam kawasan. Kena ingat satu, walaupun nama dia pasar, dia lebih kepada konsep kedai dekat sini.

Sekali tengok, boleh kata macam dekat Rantau Panjang, Jalan TAR dan lain-lain. Ada macam-macam benda yang korang boleh dapatkan dekat sini. Dari jajan, barang kecantikan, barang elektronik, pasar basah, semua ada. Sebelah daripada Subsin ni sebenarnya ada shopping mall. Jadi kalau nak cuci mata tengok barang, silakan.

Tips : Berhadapan kawasan Subsin martket ni ada deretan orang jual streetfood. Tapi korang kena pandai tengok dan cari yang peniaga dia muslim lah. Sebab tulisan menu semua bahasa thai. Kitorang cari yang ada orang pakai tudung makan atau menjual. Confirm muslim.

 

#9. Bo Yang Night Market

Sama konsepnya macam uptown di Kuala Lumpur, dekat sini banyak menjual pakaian dan aksesori yang harganya boleh tahan lah murah.

Menarik dekat sini, tempat makan dia. Lebih daripada 20 gerai ada, dan makanan ada macam-macam jenis. Peniaga muslim pun ramai. Paling penting, murah dan sedap!

 

#10. Floating Market

Dalam banyak-banyak, sudah tentu yang paling menarik adalah floting market. Di Songkhla, ada satu floating market iaitu di Khlong Daen yang terletak di daerah Ranot.

Boleh dikatakan semua floating market yang ada baik di Hat Yai atau Songkhla ni buka pada hari SABTU sahaja. Jadi kalau nak rasai pengalaman shopping di floating market, datang atau set tarikh supaya kena dengan hari minggu.

Tips : Datang hari Sabtu, hari lain tutup! Waktu operasi 12 hingga 9 malam.

Destination: