Gunung Bintang Bakal Dilengkapi Homestay & Kereta Kabel Untuk Tarik Pelancong

July 04, 2019 - 12:20 PM


Siapa yang memang kaki hiking mesti korang pernah dengar nama Gunung Bintang iaitu gunung paling tinggi di Kedah.

Gunung Bintang yang terletak di daerah Kulim itu mempunyai ketinggian 1,862 meter dan kawasan puncaknya boleh mencecah suhu sekitar 18 darjah Celsius.

Ia merupakan antara lokasi popular pendaki kerana kaya dengan khazanah alam yang cukup menarik, selain terletak berhampiran dengan kawasan tarikan pelancong iaitu Taman Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim.

Menyedari keistimewaan Gunung Bintang yang terletak dalam deretan Banjaran Bintang dan menjadi titik sempadan antara 2 negeri iaitu Kedah dan Perak, kawasan itu kini dalam cadangan untuk dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur baharu agar menjadi destinasi ekopelancongan baharu bagi 'Negeri Jelapang Padi'.

Antara kemudahan yang dicadangkan adalah pembinaan rumah-rumah inap atau homestay serta perkhidmatan kereta kabel yang akan menjadi pilihan bagi mereka yang kurang gemar atau tidak mampu mendaki gunung.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeoh Keng Chuan cadangan pembinaan kereta kabel telah disampaikan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, beberapa bulan lalu dan beliau memberikan reaksi yang baik terhadap cadangan berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan seorang malim gunung di situ, perjalanan ke puncak Gunung Bintang memerlukan masa selama 2 hari dan pastinya pendaki perlu bermalam di lokasi tertentu di dalam hutan.

Justeru, jika kemudahan yang sesuai dibangunkan di kawasan tersebut, ia mampu menarik kedatangan lebih ramai pengunjung yang mendambakan keindahan flora dan fauna di situ.

Sumber: Bernama

 

Destination: