Toppen, Pusat Beli Belah Unik Berkonsepkan Bumbung Terbuka Dibuka 13 Nov Ini!
TERKINIMalaysia bakal memiliki sebuah pusat membeli-belah baharu yang unik dengan mengetengahkan konsep mesra keluarga di atas ruang bumbung terbuka!
Diberi nama "Toppen" yang bersesuaian dengan ciri istimewanya itu, pusat beli-belah yang pertama seumpamanya di negara ini akan mula beroperasi pada 13 November depan, bersebelahan Ikea Tebrau, Johor Bahru.
Menurut Ikea Asia Tenggara, pusat beli-belah berkenaan dijangka menarik 15 juta pengunjung pada tahun depan, bukan sahaja dari Johor dan negeri-negeri jiran malah juga dari Singapura.
Tarikan utama bumbungnya yang diberi gelaran The Topp, bercirikan ruang terbuka interaktif dengan lebih 30 gerai makanan dan minuman yang berkonsepkan 'al-fresco' yang dikelilingi taman hijau, gelanggang serbaguna, pusat luncur, piazza acara yang luas, kawasan permainan kanak-kanak, panggung wayang, arena e-sukan dan taman rekreasi air kanak-kanak.
Toppen yang berkeluasan 1.1 juta kaki persegi itu secara ringkasnya bakal menawarkan kepada rakyat Johor dan para pelancong sebuah destinasi membeli-belah yang lengkap untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
P/S: Wow, tak sabar nak tengok satu lagi pusat beli-belah moden dan canggih di selatan tanah air kita!