Teringin Ke Pulau Kucing? Singapura Pun Ada – Pulau St. John

October 29, 2019 - 12:12 PM


Jika anda mengikuti cerita berkenaan travel dan kucing, pasti anda tahu tentang sebuah pulau di Jepun yang penuh dengan kucing iaitu Okishima. Selepas cerita Okishima ni ‘sampai’ ke sini, ramai yang berhajat untuk kesana dan melihat sendiri keindahan pulau yang dipenuhi dengan si bulus comel ini.

Jangan bimbang, sekiranya anda mahu kesana tetapi bajet tidak besar, mungkin anda boleh ke Singapura! Ya, Singapura juga mempunyai sebuah pulau yang ‘didiami’ oleh sekeluarga kucing dan ia dikenali sebagai Pulau St. John.

Pulau kecil yang berdekatan dengan Sentosa ini mempunyai jumlah kucing yang pernah mencapai sehingga 100 ekor. Walaupun hanya tinggal 16 ekor tetapi ada sebuah lagi pulau bersebelahan dengan Pulau St. John yang turut mempunyai bilangan kucing yang banyak.

Menurut laman Facebook St. John Island Marine Lab, penurunan bilangan kucing disini adalah disebabkan program pensterilan yang dijalankan oleh SPCA kepada kucing – kucing di pulau berkenaan. Ini secara tak langsung memastikan populasi kucing di pulau tersebut terkawal dan ia juga berjaya mengurangkan pelbagai masalah lain seperti penyakit bawaan kucing dan masalah kesihatan kepada kucing – kucing disana.

Selain itu, katanya pada 2018, ada kejadian kecurian kucing berlaku disini apabila 14 ekor kucing didapati hilang. Banyak jugak jumlah 14 ekor tu!

Selain Pulau St. John, Pulau Lazarus yang terletak sekitar 1.8 kilometer dan bersambung dengan Pulau St. John juga dikatakan mempunyai banyak bilangan kucing jalanan.

Untuk ke dua buah pulau ini, tiket boleh dibeli di Terminal Feri Marina South Pier berharga RM55 untuk seorang. Perjalanan dari jeti ke pulau ini memakan masa sekitar 45 minit dan perlu diingatkan, kucing disini ada penjaganya.

Jadi, pengunjung dilarang memberikan kucing ini makanan dan pastikan kebersihan kawasan ini terjaga.

Photo Credit : St. John's Island Marine Laboratory

Destination: