Kraftangan, Makanan Dan Produk Eco-Tourism Di Terengganu
Terkenal dengan keindahan pantai yang mempunyai pasir putih dan halus, Terengganu juga mempunyai banyak pulau peranginan yang sering menjadi tumpuan pelancong baik tempatan dan antarabangsa seperti Pulau Redang, Pulau Kapas dan lain – lain.
Selain daripada destinasi tarikan pelancong tersebut, negeri Terengganu juga terkenal dengan kepelbagaian makanan yang menarik, sedap dan murah.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), kerajaan negeri Terengganu mensasarkan kehadiran sejumlah 5 juta orang pelancong selain sasaran utama negara iaitu menerima 30 juta pelancong antarabangsa pada tahun hadapan.
Kraftangan, Eco – Tourism dan Makanan
Baru – baru ini, kami ada juga sertai dua program yang diadakan di Terengganu iaitu Terengganu Homestay Food and Culture Festival 2019 dan juga Setiu Wetlands Festival 2019.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dan secara tidak langsung menyediakan pengusaha – pengusaha tempatan untuk menerima pelancong yang ramai tahun hadapan.
Salah satu tarikan yang boleh diketengahkan adalah program homestay. Sebagai contoh, kami baru – baru ini dibawa ke Homestay Kampung Kubang Depu, Besut, Terengganu.
Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini adalah; merasai pelbagai hidangan tradisional Terengganu, menyertai sukan rakyat, lawatan ke kandang kambing tenusu serta persembahan kebudayaan yang sangat sinonim dengan negeri di Pantai Timur seperti Dikir dan sebagainya.
Selain homestay, pelancong ke Besut boleh juga menikmati pemandangan perkampungan nelayan sambil menaiki cruise di Besut River Cruise yang terletak di Kampung Nail. Perjalanan sejauh 5 kilometer akan membawa pengunjung untuk menyusuri Sungai Besut.
Jika tidak minat dengan homestay, mungkin anda boleh ke Lata Kolam Air Deru Ecopark yang terletak di Jertih. Selain boleh mandi manda, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti dan boleh juga bermalam disini.
Kami ada kongsikan pengalaman kami bermalam di Lata Kolam Deru Ecopark ni.
Sebelum sampai ke Lata Kolam tu, boleh singgah di Masjid 8 Kubah di Jerteh juga. Ia , mendapat jolokan ‘Masjid Russia’ disebabkan warna kubahnya yang mungkin mendapat inspirasi dari bangunan ikonik yang mempunyai reka bentuk kubah yang berwarna-warni di sana.
Jika anda mahu hilangkan kepenatan memandu pula, rasanya boleh ‘lajak’ ke La Hotspring yang terletak tidak jauh dari Lata Kolam Deru Ecopark.
Itu kalau nak cerita tarikan di Besut. Kalau di Setiu pula, ada juga beberapa produk pelancongan yang tidak kurang hebatnya.
Salah satu daripadanya adalah Boardwalk Setiu yang mana ia adalah dibawah penjagaan Taman Negeri Terengganu.
Setakat ini, pengunjung yang mahu ke sini perlu mendapat kebenaran dari pihak taman negeri sekurang-kurangnya 3 atau 4 hari sebelum lawatan. Tiada bayaran yang dikenakan buat masa ini.
Disini, pengunjung boleh belajar tentang ekosistem di hutan paya bakau selain boleh mengenal pelbagai jenis flora dan fauna yang ada di persisiran sungai.
Terdapat juga pakej untuk menyusuri Sungai Setiu selain pengunjung akan dibawa ke Setiu Wetland dan disini boleh diadakan aktiviti seperti berkelah, bbq dan yang paling menarik boleh mendapat pengalaman mencari lokan, kepah dan lala.
Buat masa ini, ada dua tempat yang menawarkan paken mencari kepah dan lokan ini iaitu Peladang Agro Setiu Resort dan Terrapuri.
Selain dari tarikan di Sungai Setiu ni, pengunjung boleh melawat ke Rumah Botol yang dimiliki oleh Tengku Mohd Ali atau lebih mesra dipanggil Ayah Ku.
Sejarah kewujudan Rumah Botol ini amat menarik apabila pemiliknya memungut setiap botol yang ada disini selain ada juga pemberian orang.
Semuanya bermula pada tahun 2005 apabila Ayah Ku mengutip botol yang ada di pantai supaya tidak dipijak pengunjung lain. Mulai dari itu, ia menjadi hobi dan terkini, Ayah Ku telah mengutip lebih dari 4,000 botol pelbagai jenis dan bentuk.
Selain keunikan Rumah Botol ini, apa salahnya kalau pengunjung terus ke Kampung Beris Tok Ku yang terletak di Setiu untuk melawat Ilham Warisan Kraf yang ditubuhkan pada 2012 ini. Peserta terdiri daripada 10 orang suri rumah dan mereka sangat mahir dalam pembuatan kraf kercut.
Kraf tangan kercut ini adalah warisan tradisi dan rumput kercut yang digunakan akan dibuat menjadi pelbagai jenis produk seperti tikar, bakul, karung dan pelbagai lagi.
Jika anda kesini, anda boleh melihat proses anyaman kercut selain proses pembuatan produk berasaskan rumput kercut ini bermula dari memetik rumput, proses pengeringan dan membuat anyaman.
Jadi, untuk merumuskan penulisan yang panjang ni; berikut adalah tarikan menarik di Setiu dan Besut Terengganu :
- Masjid 8 Kubah, Kampung 8 Kotak
- Lata Kolam Air Deru Ecopark
- Homestay Kampung Kubang Depu
- Besut Cruise, Kampung Nail
- La Hotspring
- Peladang Setiu Agro Resort
- Pengkalan Gelap ( Setiu Wetlands)
- Boardwalk Setiu
- Rumah Botol
- Ilham Warisan Kraf