Nak Rasa Percutian Suasana Desa Yang Permai? Jom Ke Kampung Agong, Pulau Pinang!

TRAVEL
December 05, 2019 - 12:38 PM


Bagi siapa yang suka dengan suasana panorama kampung tradisional Melayu yang dikelilingi pagar buluh, deretan pohon kelapa dan rumah kayu lama --- Homestay Kampung Agong yang terletak di Penaga, Pulau Pinang ini merupakan destinasi wajib yang perlu anda kunjungi.

Dengan keluasan 15 hektar, Kampung Agong ini mampu membangkitkan nostalgia kehidupan kampung masyarakat Melayu, apatah lagi disediakan beberapa tarikan utama seperti sarang burung gergasi, buaian dan basikal lama untuk memberi peluang kepada pengunjung bergambar cantik berlatar belakangkan pemandangan hijau desa.

Meskipun baru beroperasi 6 bulan lepas, Kampung Agong kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk merasai sendiri suasana kampung bersama keluarga tersayang.

Bagi anda yang ingin ke sini, Kampung Agong dibuka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang dengan bayaran tiket dikenakan sebanyak :-

- RM3 untuk kanak-kanak berumur empat hingga 11 tahun

- RM5 kanak-kanak 12 tahun dan dewasa

- RM10 warga asing

- PERCUMA untuk bayi yang berusia bawah tiga tahun 

Selain bergambar, pengunjung yang datang ke sini juga boleh melakukan pelbagai aktiviti kampung antaranya berbasikal, mengutip kelapa, memancing, bermain congkak dan belajar meraut pelepah kelapa untuk dibuat lidi serta menyewa pakaian tradisional untuk lebih menghayati suasana kampung di sini.

Selain sawah hijau yang luas terbentang, terdapat juga hampir 500 batang pokok kelapa yang boleh para pengunjung kait sendiri buahnya.

Jika kena dengan musim buah-buahan, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis pokok buah antaranya seperti buah bacang, cempedak, jambu air, pisang durian dan limau purut.

Paling istimewa yang menarik perhatian pengunjung golongan muda untuk ke Kampung Agong ini pastinya disebabkan sarang-sarang burung asli yang dipamerkan seperti sarang burung tempua, burung wak-wak dan burung helang. Memang bergambar sakan dorang dengan sarang burung tu!

Disebabkan populariti Kampung Agong yang semakin terkenal, pihak penyelia kawasan itu dijangka akan menjalankan beberapa projek penambahbaikan termasuk membina 9 buah rumah penginapan bagi memenuhi permintaan pengunjung yang ingin bermalam di situ.

Pembinaan rumah-rumah penginapan tersebut bakal siap pada awal tahun depan dan sekaligus merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020!

Malah untuk jangka masa panjang, Kampung Agong juga bakal memiliki bot sendiri yang boleh membawa para pengunjung dari Batu Ferringhi dan menunjukkan hutan paya bakau kepada mereka, selain berpeluang melihat sendiri kehidupan orang kampung sebagai nelayan di Jeti Sungai Penaga.

Kredit Foto: Twitter (@nxlysa, @Fazreeneen1, @BabaAlkassim & Afiqah Salleh)

Destination: