Langkawi Jadi Pulau Pertama Di Dunia Dilengkapi 5G
Langkawi bakal muncul sebagai pulau peranginan pertama di dunia yang dilengkapi dengan rangkaian termaju 5G apabila ia mula dilancarkan pada Ahad depan (19 Januari 2020).
Pelaksanaan aplikasi itu telah diuji di 11 kes penggunaan 5G di sekitar Langkawi oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
Malah, sebuah Pusat Kawalan Operasi Bersepadu atau lebih dikenali Pusat Arahan 5G turut dibuka sebagai nadi teknologi 5G dan pengumpulan data rangkaian tersebut.
Hasil pelaksanaan itu juga, Langkawi kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik di kawasan utama pulau yang memiliki sistem pengecaman wajah dan kenderaan bagi tujuan keselamatan awam, kawalan orang ramai serta pengesanan tahap emosi pelancong.
Bahkan pulau peranginan tersebut kini turut memiliki pemantauan penderia cuaca, amaran tsunami, sistem kelajuan angin yang dipasang di 2 destinasi tarikan pelancong iaitu Kuah dan Cenang.
Jadi selepas ini, jika anda bercuti ke Langkawi anda juga boleh menggunakan aplikasi pintar 'My Smart City' yang dibangunkan TM, di mana ia membolehkan pelancong yang berada di pulau berkenaan dengan mudah mendapatkan informasi diperlukan berkaitan pulau legenda itu.
Aplikasi My Smart City mempunyai beberapa ciri dan servis seperti perancang perjalanan, tempat letak kenderaan, arah kiblat, perkhidmatan dalam bandar dan butang kecemasan, yang membolehkan pelancong merancang perjalanan mereka dan meneroka tempat-tempat menarik dan juga maklumat mengenai apa yang berlaku di sekitar Langkawi.
Selain itu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), anda berpeluang mencuba sendiri kemudahan Realiti Maya (VR) 8K UNESCO Global Geopark Langkawi bagi melihat sekali imbas lokasi-lokasi menarik yang boleh dilawati.
Aplikasi My Smart City dan VR 8K UNESCO Global Geopark Langkawi ini merupakan tambahan kepada 'Smart Retail Analytics' yang telah disediakan untuk demonstrasi 5G yang telah dilaksanakan TM di LIA sejak Oktober lalu.
VR 8K UNESCO Global Geopark Langkawi pula memaparkan geopark dan pulau itu dalam bentuk video berkualiti yang membolehkan seseorang itu alami keunikan lokasi-lokasi ini.
Ia merupakan kandungan UNESCO Global Geopark pertama dibuat dalam bentuk realiti maya 8K! Gempak kan!
Sumber: Berita Harian