Ahli Parlimen Kena 'Sound' Dengan Agong Pada Hari Pertama Bersidang

May 18, 2020 - 04:08 PM


Ahli Parlimen hari ini ditegur Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut mStar Online, baginda bertitah supaya wakil rakyat perlu lebih matang dalam berpolitik ketika istiadat pembukaan sidang Parlimen bagi mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14.

"Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19.

Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini.

"Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu-padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

"Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata," titahnya.

Baginda juga memberi peringatan kepada Ahli Parlimen supaya tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.