Bestnya, Sekarang Perlis Tengah Meriah Dengan Musim Pancing Ikan Puyu Tepi Bendang!
Setiap kali musim menuai padi antara akhir bulan Ogos hingga Oktober -- ramai penduduk Perlis tanpa mengira umur, bangsa dan pangkat, tidak akan melepaskan peluang untuk memancing ikan puyu di sawah.
Sekitar pukul 4.00 petang hingga 7.00 malam ramai yang akan keluar memancing dan antara lokasi yang menjadi tumpuan pastinya kawasan sawah padi sekitar Kampung Mengkuang Layar, Kampung Wang Ulu, Titi Chai dan Seriab.
Menurut salah seorang pemancing, Azizan Ahmad -- setiap kali selepas musim menuai padi beliau tidak akan melepaskan peluang untuk memancing ikan puyu dan ikan keli.
“Jika bukan musim menuai padi, agak sukar untuk mendapat ikan kerana pada ketika itu air dari petak sawah dilepaskan ke tali air. Ikan turut masuk ke tali air, pada ketika itu susah ikan makan umpan,” katanya.
Beliau berkata rasa ikan puyu ‘padang’ (sawah) amat sedap kerana isinya lebih manis berbanding ikan puyu yang dijual di pasar, dan selain untuk dijadikan lauk buat sekeluarga, hasil tangkapannya juga boleh dijadikan ikan pekasam dan dijual secara kecil-kecilan.
Menurutnya, ikan puyu sedap jika dibuat (masak) gulai, asam pedas atau pekasam, lagi sedap jika di makan dengan nasi panas.
Senada dengan Azizan, seorang lagi pemancing ikan puyu iaitu Mazlan Mustapa berkata memancing ikan selepas musim menuai padi amat menyeronokan kerana jumlah tangkapan adalah lebih banyak berbanding hari biasa.
"Letak angkat, letak angkat, itulah yang menjadi kepuasan dan keseronokan memancing ikan di sawah pada musim ini, ikan mudah makan umpan tidak seperti memancing di sungai atau tasik. Setiap hari saya boleh dapat antara 40 ke 60 ekor ikan puyu selain beberapa ekor ikan lain antaranya keli, haruan dan sepat dalam masa sejam ke dua jam sahaja dengan hanya menggunakan umpan cengkerik,” katanya.
P/S: Min sendiri pernah merasai pengalaman memancing ikan puyu di tepi-tepi bendang dan memang tak dinafikan seronok dia tu memang lain maciam...hehe..ikan puyu pun memang betul-betul sedap goreng simple makan dengan nasi panas...terangkat beb!
Sumber: BERNAMA