Kolam Ombak Buatan Terbesar Di Dunia Kini Dibuka Di Korea Selatan

October 08, 2020 - 12:42 PM


Meskipun sekarang bukan masa yang sesuai untuk melancong ke luar negara -- namun ini ada satu lokasi menarik yang boleh dikunjungi jika bercuti ke Korea Selatan telah dibenarkan kelak.

Di Siheung terdapat sebuah taman air dengan kolam ombak buatan terbesar di dunia telah dibuka untuk menawarkan pelbagai aktiviti sukan air kepada para pengunjung.

Wave Park, sebuah taman bandar untuk sukan air yang dibina di sebuah pulau buatan bernama Geobuk di bandar 25 kilometer di barat daya Seoul mula menyambut pengunjung pada hari ini (8 Oktober 2020).

Dibina di atas tanah seluas 166,000 meter persegi dengan anggaran 563 bilion Won (AS $ 486 juta), taman ini terdiri daripada kolam ombak buatan terbesar di dunia untuk surfing dan pelbagai aktiviti sukan air lain, seperti berkano dan selam skuba.

Kolam tersebut yang berukuran panjang 220 meter dan lebar 240 meter, dapat menghasilkan ombak setinggi hingga 2.4 meter setiap 8 saat serta dapat menampung kapasiti maksimum 150 pemain surfing setiap jam.

Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19, hanya kolam ombak buatan itu sahaja yang akan menerima pengunjung buat masa ini.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke sini, mereka dikehendaki membuat tempahan secara online di laman web (www.wavepark.co.kr) kerana taman ini hanya menerima pengunjung untuk bilangan yang terhad agar penjarakan sosial dapat dilakukan.

Sumber: Bernama

Destination: