Lukisan Mural 3D Keindahan Jelapang Padi, Satu Lagi Tarikan Baru Di Alor Setar!
Selepas keadaan penularan kes COVID-19 semakin reda dan Kedah diisytiharkan bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran -- korang yang berkunjung ke Alor Setar jangan lepaskan peluang untuk melawat sebuah lokasi tarikan baharu pelancongan yang ada di bandar raya itu.
Tarikan baharu yang dimaksudkan adalah lukisan mural 3D sepanjang 37 meter, yang memaparkan keindahan kawasan jelapang padi berlatarbelakangkan Gunung Jerai dan keadaan penanaman padi pada tahun 1879.
Lukisan bertemakan ‘Alor Setar Tradisional 1879' itu boleh korang temui pada tembok dinding di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar lama di Jalan Penjara.
Selain bertujuan untuk memperindahkan pemandangan bandar raya Alor Setar, lukisan mural yang dihasilkan oleh sekumpulan pelukis profesional itu juga adalah bagi mengimbau semula nostalgia zaman tanaman padi dilakukan secara tradisional oleh petani pada tahun 1879.
Lukisan mural itu terbahagi kepada 2 bahagian dengan bahagian pertama sepanjang 12 meter memaparkan keindahan pemandangan jelapang padi pada waktu siang dengan kombinasi pelbagai warna.
Sementara, bahagian kedua sepanjang 25 meter hanya menggunakan warna hitam dan putih memaparkan keadaan atau cabaran masyarakat pada 1879 mengusahakan penanaman padi termasuk proses menanam, memotong atau mengerat padi dan membajak menggunakan kerbau.
Pelukis utama lukisan mural tersebut Datuk Chen Teck Ming, 55 tahun berkata beliau bersama 10 lagi individu telah memulakan lukisan itu pada 29 September lalu dan akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Bagi menghasilkan lukisan mural ini, kami menggunakan cat kalis air dan cuaca untuk memastikan mural ini bertahan lama. Saya berharap lukisan ini dapat mengembalikan nostalgia selain memberi didikan kepada generasi muda mengenai susah-payah pesawah dahulu menanam padi dan mencari rezeki,” katanya.
Chen, pernah menghasilkan mural pada dinding selebar 27.44 meter dengan ketinggian 14.6 meter di sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping, Perak sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lukisan luaran 3D terbesar di negara ini, tahun lepas.
Sumber: Bernama & Kredit Gambar: FB Majlis Bandaraya Alor Setar