Masjid FujiKawaguchiko: Masjid Pertama Dibuka Di Kaki Gunung Fuji Buat Pelancong Muslim
Tidak dinafikan ramai pelancong dari seluruh dunia yang kagum dengan keindahan Gunung Fuji di Jepun dan tak hairanlah destinasi itu menjadi salah sebuah lokasi impian percutian buat mereka yang gemarkan suasanan alam semulajadi termasuk rakyat Malaysia.
Baru sebulan yang lalu, Jepun telah mengumumkan bahawa negara matahari terbit itu bakal menyambut semula pelancong dari luar negara pada bulan April 2021.
Jika anda yang beragama Islam berkunjung ke kaki Gunung Fuji nanti, anda sudah tidak perlu risau untuk menunaikan solat kerana di sana baru-baru ini telah dibuka sebuah masjid yang pertama khas buat pelancong Muslim.
Masjid FujiKawaguchiko telah dibuka secara rasmi pada 8 November lalu dan ia dibina di bangunan yang asalnya merupakan sebuah tempat penginapan yang diberi nama Capsule Inn Fujisan serta berhampiran dengan Tasik Kawaguchi.
Walaupun tidak banyak maklumat mengenai masjid tersebut, namun nampaknya tempat ibadah itu dibina dengan ruang yang cukup luas untuk menampung puluhan umat Islam.
Malah, masjid ini juga katanya mempunyai kawasan khas untuk pengunjung menjamu selera serta mempunyai beberapa kafe yang halal untuk mereka bersantai sambil makan dan minum.
Masjid FujiKawaguchiko ini terletak hanya beberapa minit dengan berjalan kaki dari Tasik Kawaguchi yang indah dan berhampiran jambatan yang melintasi tasik.
Ini bererti bahawa setelah menunaikan solat, anda dapat berjalan kaki ke tasik untuk melihat sendiri pemandangan Gunung Fuji yang megah dan indah.
Bagi yang belum berpengalaman ke destinasi pelancongan popular Jepun itu, Tasik Kawaguchi merupakan salah satu tasik yang terkenal di sekitar Gunung Fuji di mana anda boleh menyaksikan panorama gunung tersebut dari sudut yang berbeza.
Malah di bahagian utara tasik juga mempunyai pemandangan Gunung Fuji yang terbaik dan ia merupakan lokasi yang paling cantik ketika berlakunya musim luruh atau bunga sakura.
Selain itu, terdapat banyak kemudahan seperti perkhidmatan sewa basikal, kedai serbaneka, hotel dan resort untuk keselesaan percutian buat pelancong.