Lata Riau & Lubok Jong: 'Hidden Gem' Terbaharu Di Sedim, Kedah Selain Tree Top Walk!

February 13, 2021 - 02:49 PM


Biasanya kalau sebut sahaja Sedim, Kedah pasti ramai yang terbayang mengenai jambatan kanopi terpanjang di dunia iaitu Tree Top Walk yang menjadi tarikan popular kepada pelancong tempatan dan luar negara jika bercuti ke Negeri Jelapang Padi ini.

Tetapi korang jangan tak tahu, walaupun ketika ini kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak – namun sebenarnya ada beberapa tarikan pelancongan baharu yang jarang diketahui orang ramai dan menarik untuk dikunjungi selepas Kerajaan membenarkan semula untuk kita semua merentas negeri dan melakukan aktiviti pelancongan.

Tarikan terbaharu yang dimaksudkan adalah Tapak Perkelahan Wan Jong dan Lata Riau, yang mana kedua-duanya terletak berhampiran dengan kawasan Tree Top Walk.

Lepas terkurung di rumah untuk tempoh yang lama, mesti ramai antara kita yang sudah tidak sabar untuk kembali 'bersahabat dengan alam' serta menghirup oksigen segar sambil mata menikmati kehijauan alam semulajadi yang cukup mendamaikan.

Lagi best, kedua-dua lokasi percutian ini tak memerlukan bajet yang besar pun untuk korang enjoy!

TAPAK PERKELAHAN WAN JONG

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Aku sempat mulakan penerokaan Sedim dengan Tapak Perkelahan Wan Jong. 

Namanya diambil sempena batu berbentuk kapal terbalik yang dapat dilihat berada di tengah-tengah sungai. 

Kawasan Wan Jong ini baru enam bulan diperindahkan bagi keselesaan pengunjung

Aku difahamkan tapak pekelahan di Lubok Jong ini adalah tanah milik persendirian dan dibuka percuma kepada pengunjung. 

Bayaran hanya dikenakan sekiranya korang ingin parkir kereta.

Bayaran parkir kereta dikenakan cuma RM3.

Pemilik Wan Jong ni juga ada sediakan khemah untuk disewa pada harga RM30 jika anda mahukan “privacy”.

Tapi kalau tak nak sewa khemah, boleh juga sewa tapak berbumbung pada harga RM20.

Tapi aku terus saja bentang tikar dan mandi manda di lima kolam buatan yang dibentuk di Sungai Sedim. 

Jimat yang amat.

Batu-batu sungai disusun untuk membuat 5 kolam kecil bagi kemudahan kanak-kanak
Kelihatan ada individu di Tapak Perkhemahan Wan Jong sedang menyusun batu-batu sungai untuk membuat kolam kecil

Kalau mengikut cerita orang kampung disitu, pemilik Wan Jong membina kolam-kolam semulajadi yang cetek ini untuk membolehkan kanak-kanak dapat berendam dan bermain air dengan selamat.

Orang dewasa yang takut ke bahagian sungai yang dalam pun, boleh mandi di sini

Air sungai ni memang sangat jernih dan menyegarkan. Korang yang asal kampung dan pernah berkubang mesti teringat balik kenangan masa kecil

Kebetulan pula, masa aku kesana waktu hari minggu dan tak ramai pengunjung luar. Memang lama betul aku berendam. Habis berendam, baring pula ditepi sungai dengar bunyi alam, damai sungguh.

Kawasan lapang untuk pengunjung berkelah atau melakukan aktiviti

Sebenarnya kawasan ini banyak port lepak. Pemiliknya terbuka jika anda hendak gunakan mana-mana ruang sekitar kawasan ini. Semuanya percuma! Cuma kita kena jagalah adab masuk tempat orang. Orang berbudi, kita berbahasa. 

Masa aku jalan-jalan disekitar kawasan Wan Jong ni, aku ada nampak sebuah vila kecil. Rupanya ini antara projek yang sedang dibangunkan pemilik disini untuk kemudahan peribadi. Tapi idea ini katanya akan diadaptasi pada masa depan untuk mereka yang inginkan pengalaman bermalam tepi sungai. Kalau dilihat dari saiznya, ia boleh memuatkan antara 5-6 orang.

Maknanya, Wan Jong ni nanti bukan hanya kawasan untuk korang berkelah, tapi boleh adakan pelbagai aktiviti lain antaranya seperti BBQ, gathering atau team building dalam kumpulan kecil.

LATA RIA

Sementara itu, tidak jauh dari Tapak Perkelahan Wan Jong atau kira-kira 1 kilometer -- mungkin ramai yang tidak sedar adanya satu lokasi yang hanya boleh dijejaki melalui laluan pejalan kaki. Aku dapat tahu mengenai lokasi ini bila rancak bersembang dengan penjaga Wan Jong.

Lata Riau, terletak kurang 500 meter sebelum korang sampai di Tree Top Walk yang menjadi tarikan utama di Hutan Lipur Sungai Sedim.

Sebenarnya, kawasan ini dibuka kepada orang awam tanpa sebarang bayaran. Namun, ia jarang dikunjungi kerana laluannya yang tersembunyi. Hanya orang kampung dan mereka yang sudah berpengalaman menjejak trek pendakian Gunung Bintang tahu kewujudan tempat ini.

Aku yang teruja dengar cerita keindahan ini, terus menjejak laluan trek sejauh hampir 1 kilometer untuk sampai di Lata Riau.

Pada mulanya, aku tak nampak apa yang istimewanya Lata Riau ini. Tapi percayalah, kepenatan mendaki trek ini amat berbaloi apabila dapat melihat pemandangan air terjun yang cukup indah.

Suasana yang nyaman, air yang sejuk tanpa pencemaran menjadikan ianya 'permata tersembunyi' disebalik pelbagai lagi tarikan menarik di sekitarnya.

Bagi korang yang baru pertama kali hendak menjejakkan kaki ke Lata Riau, korang dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat guide bagi tujuan keselamatan. 

Bagi mendapatkan khidmat guide atau pakej, boleh hubungi Pengurus Perusahaan Azam Travel, Puan Aida di talian 012-310 1945.

Mereka lebih arif tentang laluan ini, dan boleh membantu korang mendapatkan khidmat “tour guide” berpengalaman untuk mengatur perjalanan naik dan turun dengan selamat.

P/S: Lokasi menarik ni nanti bolehlah korang share dulu dengan kawan-kawan atau ahli keluarga untuk percutian lepas tamat PKP dan bila kes penularan COVID-19 semakin pulih nanti. Apa-apa pun tak salah kan kita berangan dulu, bercuti kemudian. Bak kata omputih "Dream Now, Travel Later"...hehehehe

 

Destination: