Turki Perhebat Konsep Percutian Secara 'Glamping', Lebih Selamat Dari Pandemik!
Akibat penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia setelah lebih setahun lamanya, banyak negara terpaksa menanggung kerugian yang teruk terutama daripada sektor pelancongan.
Malah golongan pengusaha syarikat penerbangan, perhotelan dan yang berkaitan pelancongan semuanya berdepan cabaran getir bagi memastikan mereka terus 'bernafas'.
Bahkan, ada ramai juga yang terpaksa mencipta pelbagai idea kreatif baharu bagi meneruskan perniagaan seperti para pemilik hotel yang beroperasi di Turki yang kini dilihat semakin beralih kepada konsep percutian baharu iaitu 'Glamping' atau Glamor Camping!
Mengambil ilham daripada konsep serupa yang selalu dipraktikkan di kebanyakan negara Asia seperti Thailand -- semakin banyak hotel ala-ala khemah berbentuk kubah dibangunkan di kawasan hutan kecil di Turki kepada pelancongnya.
Pemilihan konsep glamping itu menjadi tarikan di sana sejajar dengan protokol kesihatan mereka yang hanya membenarkan 2 orang sahaja tinggal di dalam bilik yang dilengkapi dengan semua keperluan asas seperti di sebuah hotel, termasuk khidmat penghantaran makanan dalam bilik.
Mereka yang menginap di sana juga berpeluang menikmati pengalaman 'glamping' serta pemandangan semula jadi dari dalam khemah sambil melihat salji yang menyelubungi kawasan hutan.
Sambutan hotel-hotel khemah itu sangat menggalakkan sehingga ada pelanggan yang perlu menunggu lebih dua bulan untuk membuat tempahan.
Dengan COVID-19 dijangka terus menular di Turki, lebih banyak pemilik hotel kini meneroka peluang-peluang perniagaan baru seperti itu.
Sumber: Media Corp