Sarawak Tawar 4 Bas Elektrik Untuk Pelancong Jalan-Jalan Di Kuching

March 03, 2021 - 02:08 PM


Jika nanti kita dah dibenarkan untuk merentas negeri dan bercuti ke seluruh negara, mesti ramai yang rindu nak terbang sampai ke Sarawak, kan?

Kalau nak tahu selepas ini korang dah boleh berjalan-jalan di sekitar bandar raya Kuching dengan menaiki perkhidmatan bas awam yang digerakkan oleh tenaga elektrik serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Sebanyak 4 buah bas yang dikenali sebagai Sarawak Electric City Bus atau E-Bus itu disediakan untuk kemudahan orang ramai termasuk pelancong untuk bersiar-siar di lokasi menarik yang ada di Kuching.

Kesemua bas tersebut dilengkapi dengan teknologi terkini seperti sistem automasi pengumuman hentian bas, sistem kawalan penyiaran kandungan tepat masa, kaunter video penumpang -- di samping kemudahan kerusi roda, WIFI percuma, kamera CCTV dan ruang khusus bagi menempatkan basikal yang boleh dilipat.

Ia juga dilengkapi dengan aplikasi ‘Kuching Metro’ yang membolehkan pengguna bas mendapat pemantauan tepat masa, lokasi bas, dan jangkaan masa ketibaan bas.

Sudah melalui tempoh percubaan dengan sebuah bas sejak Februari 2019, E-Bus diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan alternatif yang selesa dan percuma kepada pelancong serta penduduk tempatan dengan menyambungkan beberapa destinasi tarikan pelancongan.

Empat unit E-Bus itu kini meliputi kawasan yang lebih luas iaitu di 54 buah hentian dengan tempoh masa ketibaan selang dua jam bagi setiap bas serta berulang-alik antara kawasan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh, yang merupakan destinasi popular di Kuching.

Sumber: Bernama
 

Destination: