Top 8 Perkara Mengejutkan Tentang Kehidupan Diraja Putera Harry Dan Meghan Markle
TERKINIAwal tahun lepas, Putera Harry, Duke of Sussex membuat keputusan untuk meninggalkan Istana Buckingham dan melepaskan tugasan Diraja untuk memulakan kehidupan baru bersama dengan isterinya, Meghan Markle, Duchess of Sussex, dan anak mereka, Archie di Kanada.
Selepas setahun memulakan kehidupan baru, Harry dan Meghan akhirnya tampil ditemu bual oleh hos terkenal Oprah Windfrey dimana kedua pasangan tersebut membongkarkan rahsia gaya hidup Diraja mereka yang lama mereka pendamkan.
Menurut Oprah, temubual tersebut berlangsung sehingga 3 jam 20 minit, namun perlu disunting sehingga 1 jam 25 minit. Dalam sesi temu bual yang disiarkan di CBS itu, banyak perkara yang mengejutkan ramai pihak tentang kehidupan mereka di dalam institusi Diraja, dan ini adalah top 8 perkara yang telah mengejutkan orang ramai:
#8 Meghan tiada pengetahuan tentang kehidupan Diraja
Meghan menyatakan dalam temu bual tersebut yang beliau langsung tidak tahu tentang kehidupan Diraja, dan tidak pernah Google tentang suaminya kerana Harry merupakan seorang yang berkongsi semua perkara dengan Meghan.
Meghan langsung tidak tahu tentang gaya hidup Diraja, dan hanya dimaklumkan bahawa dia perlu melakukan tunduk hormat kepada Ratu Elizabeth sehari sebelum menemui beliau. Malah Meghan juga agak terkejut ketika dimaklumkan kerana Meghan merupakan anak kelahiran Amerika yang tidak pernah tahu tentang kehidupan monarki UK.
#7 Harry dan Meghan berkahwin 3 hari lebih awal daripada Istiadat Perkahwinan Diraja
Harry menyifatkan bahawa perkahwinan merupakan sesuatu yang intim yang mereka berdua ingin rasai tanpa menjadi tumpuan seluruh warga England. Justeru, Harry dan Meghan membuatkan keputusan untuk berkahwin secara rahsia 3 hari lebih awal dari tarikh rasmi istiadat Diraja tersebut.
#6 Institusi Diraja tidak pernah melindungi Meghan daripada topik-topik rasis
Sepanjang perkahwinan mereka berdua ketika masih lagi berkhidmat di istana, Meghan seringkali dikaitkan dengan isu-isu rasis kerana Meghan berdarah kacukan. Harry meluahkan rasa kecewa kerana pihak istana tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk melindungi Meghan kerana tidak mahu media British untuk melatah.
Menurutnya, pihak istana harus menjaga hubungan baik dengan pihak media British kerana wujudnya perjanjian diantara dua entiti tersebut, dan mereka saling memerlukan satu sama lain.
#5 Harry berasa terperangkap
Kehidupan Diraja nampak mewah dan best menurut mata seorang rakyat biasa namun selepas menemui Meghan, Harry mula sedar bahawa dia terperangkap dalam satu gaya hidup yang tiada jalan keluar. Sehinggalah Harry bertemu dengan Meghan yang menunjukkan jalan untuk melepaskan diri daripada institusi tersebut.
Ramai yang menyalahkan Meghan tentang penarikkan diri Harry daripada istana, namun hakikatnya Harry berkata Meghan adalah individu yang menunjukkan kehidupan baru yang lebih baik daripada kehidupan Diraja.
#4 Harry diputuskan daripada 'bekalan kewangan' istana
Menurut Harry, dalam suku pertama 2020, Harry tidak lagi diberikan bekalan kewangan daripada pihak istana, dan hanya mampu memulakan kehidupan baru daripada harta yang diwasiatkan Ibu Harry, Puteri Diana kepadanya.
Harry beranggapan bahawa kemungkinan ibunya sendiri mempunyai firasat bahawa perkara sedemikian mungkin berlaku kepada anaknya.
#3 Keputusan Harry untuk mengundurkan diri adalah bagi melindungi Meghan
Sejarah mungkin berulang, tambahan lagi Meghan telah menjadi bualan hangat sejak mereka membuat pengumuman tentang perkahwinan mereka. Meghan merupakan wanita kacukan, dan Harry merasakan bahawa sekiranya dia tidak bertindak, berkemungkinan besar perkara yang berlaku kepada Puteri Diana mungkin berulang kepada isterinya.
#2 Meghan disenyapkan
Meghan terkenal sebagai seorang wanita yang memperjuangkan hak-hak wanita, dan agak janggal untuk melihat dia tidak memberikan komen-komen ketika diajukan soalan oleh media.
Hakikatnya, mereka yang berada di dalam istana diarahkan untuk hanya memberikan no comment jika diajukan soalan. Lebih kesal lagi, Meghan berkata istana sanggup memberi kenyataan yang palsu untuk menjaga nama baik ahli yang lain, namun tidak mahu memberikan kebenaran untuk melindungi dia.
#1 Warna kulit anak meraka menjadi perbualan di dalam institusi Diraja
Memandangkan Meghan adalah wanita kacukan berkulit perang, sebelum anak meraka, Archie dilahirkan, perbualan mengenai warna kulit Archie menjadi topik di dalam institusi tersebut yang membuatkan Meghan tidak selesa. Namun Meghan enggan menyatakan individu yang membualkan tentang topik yang rasis itu.
Tambahan lagi, Archie juga tidak diberikan gelaran diraja, dan pengawal. Meghan amat sedih ketika menerima perkhabaran ini memandangkan Archie merupakan warga sulung istana yang bukan sepenuhnya orang putih.
Selain itu, Harry turut membincangkan tentang hubungan dingin dia dan bapanya, namun berkata dia masih menghormati bapanya, Putera Charles. Meghan ketika menjalani kehidupan di dalam istana turut pernah berasa seperti ingin membunuh diri, dan selepas melaporkannya kepada pihak istana, pihak istana tidak memberi sokongan kepadanya.
Istana Buckingham kini berdepan dua dakwaan tentang kenyataan berbaur rasis terhadap warna kulit Archie, dan kegagalan pihak istana memberikan sokongan ketika wanita itu mahu membunuh diri.