Seri Si Harimau Kumbang Tamatkan Penantian Hampir Sedekad Zoo Melaka

March 25, 2021 - 02:41 PM


Selepas hampir sedekad menunggu, Zoo Melaka kini teruja menantikan ahli keluarga baharu dalam kumpukan harimau kumbang mereka apabila Seri, salah satu daripada harimau kumbang mereka kini bunting. 

Seri yang kini berusia dalam linkungan 8 tahun sedang bunting dalam anggaran lapan bulan, dan Zoo Melaka menjangkakan yang Seri akan melahirkan anak sekitar April ini. Semua persiapan sudah diatur termasuk doktor, dan penjaga yang akan mengawasinya setiap masa. 

Seri kini dipindahkan ke ruang belakang untuk mengurangkan gangguan, dan memberikan keselesaan kepadanya. 

Kali terakhir Zoo Melaka menerima harimau kumbang baru adalah 9 tahun lepas, dan disebabkan suasana yang sunyi sepi, dan tenang tanpa kunjungan ketika PKP sebelum ini memberi ruang kepada haiwan-haiwan di Zoo Melaka untuk berinteraksi secara semula jadi, termasuk mengawan. 

Perubahan ketara perlakuan haiwan dalam suasana tenang dan senyap itu dapat dilihat sejak hujung tahun lalu apabila empat daripada enam harimau kumbang jantan di zoo itu aktif memikat harimau kumbang betina untuk mengawan.

Sejak itu, doktor veterinar dan penjaga haiwan itu membuat pemerhatian dan penantian mereka membuahkan hasil apabila Seri didapati bunting. Seri berpasangan dengan Kiki yang seusia dengannya, berada dalam keadaan sihat dan tenang, tetapi lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Selain Seri, Zoo Melaka menunggu kelahiran anak kepada Ros, zirafah berumur 15 tahun dan seekor beruang matahari dijangkakan berlaku dalam masa terdekat.

Kedua-duanya telah diasingkan dan semua petugas sentiasa peka dengan keadaan haiwan-haiwan yang bunting kerana bimbang akan berlakunya apa-apa komplikasi. Namun, setakat ini semuanya berada dalam keadaan yang baik. 

Sumber: MyMetro

Destination: