Brisbane Dicadangkan Sebagai Tuan Rumah Olimpik 2032
Keputusan untuk memilih siapa yang menjadi tuan rumah temasya sukan paling gah di dunia, Olimpik terletak di tangan badan eksekutif International Olympic Committee (IOC) dengan menilai beberapa faktor, walaupun sebenarnya banyak negara yang ingin menjadi tuan rumah Olimpik.
Walaupun sesetengah negara tidak mahu menjadi tuan rumah Olimpik atas sebab-sebab seperti tidak mahu melihat stadium Olimpik terbiar selepas tamat temasya tersebut, kos yang tinggi, dan juga beberapa faktor yang lain. Namun, menjadi tuan rumah Olimpik sudah tentu mampu melonjakkan ekonomi, dan memberikan ruang kepada sesebuah negara untuk menyerlahkan lagi budaya tempatan mereka.
Bandar di Australia, Brisbane kini selangkah lebih dekat sebelum dinamakan sebagai tuan rumah Olimpik 2032. Brisbane pada bulan Februari lepas adalah antara penawar yang disukai dan kini telahpun dicadangkan oleh badan eksekutif OIC untuk dipilih menjadi tuan rumah.
Antara bandar lain yang menunjukkan keinginan menjadi tuan rumah termasuk Indonesia, Budapest, China, Doha, dan Ruhr Valley, di Germany.
Antara yang menyebabkan Brisbane menjadi pilihan OIC adalah kerana kali ini mereka lebih cenderung untuk menganjurkan Olimpik yang lebih lestari kepada alam semulajadi, dan Brisbane menawarkan untuk menggunakan semula 84% lokasi sedia ada.
Kali terakhir Australia menjadi tuan rumah Olimpik adalah pada tahun 2000, di Sydney, dan keputusan untuk Olimpik 2032 bakal diundi pada 21 Julai akan datang.
Olimpik 2024 bakal dianjur Paris, dan 2028 oleh Los Angeles.