Lionel Messi Atasi Pele!

September 10, 2021 - 05:16 PM


Jaringan hatrik dari Kapten Argentina Lionel Messi awal pagi tadi ketika menentang Bolivia memecah rekod jaringan Pele di Amerika Selatan. Jaringan pertama yang amat memukau pada minit ke-14 dan disusuli pada minit ke-64 dan 2 minit sebelum tamat wisel perlawanan. Secara tidak langsung, berjaya mengatasi penjaring legenda Brazil tersebut.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar awal pagi tadi merupakan perlawan pertama di hadapan penyokong tuan rumah sendiri dan selepas tamat perlawanan, Messi kelihatan terharu akan sambutan yang diberikan oleh para penyokong ketika sambutan ringkas kejayaan merangkul piala Copa America yang lalu.

Messi sebelum ini mendedahkan dia kini lebih tenang selepas memenangi Copa America bersama Argentina pada musim panas lalu.

"Fikiran saya tenang sekarang selepas mencapai impian yang dinafikan beberapa kali.

"Ia seperti mimpi, saat yang menakjubkan. Saya tidak percaya ia berlaku. Saya mula menikmati saat itu berbanding ketika ia berlaku di mana saya seperti terpukau," kata Messi.

Menurut pemain 34 tahun itu, dia merasakan media menganggap Argentina sebagai satu kegagalan selepas kekalahan dalam final-final sebelumnya.

"Sebahagian daripada media melayan kami sebagai satu kegagalan, menuduh kami tidak memikul tanggungjawab dengan baik apabila menyarung jersi kebangsaan, dan kami tidak sepatutnya berada dalam skuad.

"Kami cuba untuk menjadi juara sebelum ini, kami begitu mahukannya. Ia sukar untuk memenangi Piala Dunia atau Copa America.

"Apa yang penting ialah perasaan puas apabila anda sudah memberikan segalanya. Mujur final kali ini berbeza," katanya.

Messi kini mengharapkan satu lagi kejayaan bersama negaranya di Piala Dunia 2022 di Qatar.