Thailand: Pemandu Teksi Terjejas Teruk, 200 Teksi Diubah Suai Jadi Kebun Sayur
Tak tahu nak buat apa dah teksi terlalu lama terbiar... ubah suai jadi kebun lah!
Ratusan teksi terbiar di sebuah tempat letak kenderaan di Bangkok, Thailand dimanfaat sepenuhnya dengan diubah suai menjadi kebun mini sayur-sayuran.
Lapor Channel News Asia, inisiatif itu dilakukan ketika ramai pemandu teksi terkesan teruk akibat pandemik Covid-19. Sayur-sayuran seperti daun bawang, terung dan cili tumbuh subur pada batas tanah diperbuat daripada buluh di atas bumbung dan bonet teksi terbiar itu.
Kira-kira 200 teksi diparkir di sebuah tapak letak kenderaan di kawasan Koperasi Teksi Ratchapruek di Bang Waek Road sejak setahun lalu.
Semua teksi itu ditinggalkan oleh pemandu yang sudah tidak mampu lagi menguruskan kenderaan tersebut disebabkan pandemik Covid-19.
“Pekerja saya berasa tertekan, kami semua juga tertekan di pejabat. Jadi, kami mendapat idea untuk menanam apa jenis sayur-sayuran,” kata Thapakorn Asawalertkul.
Thapakorn, 54, merupakan penasihat Koperasi Teksi Ratchapruek dan Baworn yang memiliki kira-kira 8,000 teksi. Menurutnya, perniagaan itu sedikit sebanyak membantu pemandu teksi memperoleh pendapatan.
Sejak pandemik Covid-19 melanda Thailand tahun lalu, pemandu teksi menderita krisis kewangan akibat pendapatan mereka yang merosot akibat kekurangan penumpang sementara hutang juga bertambah.
Menurut Thapakorn, ramai pemandu teksi memilih untuk meninggalkan kenderaan mereka dengan koperasi dan pulang semula ke kampung halaman kerana tidak mampu membayar sewa guna.
Tambahnya, dua koperasi teksi itu kini dibebani hutang sebanyak tiga bilion baht (RM376 juta) daripada lebih 2,900 kontrak yang tidak dipenuhi.