Sarawak Miliki Satu Lagi Tarikan Pelancongan Baharu Persis Golden Gate Bridge Di Amerika

November 23, 2021 - 12:56 PM


Jika nanti anda bercuti ke Kuching, Sarawak -- jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi dan bergambar cantik di satu lagi tarikan pelancongan terbaharu di sana persis Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat.

Tarikan baharu yang dimaksudkan adalah 'Jambatan Gantung Satok' yang merentasi sungai Sarawak.

Jambatan tersebut bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tersendiri dengan nostalgia 95 tahun lalu selepas ia dibina pada zaman pemerintahan Raja Putih Ketiga, Charles Vyner Brooke pada 1923, namun ia turut menjadi penghubung penduduk Sarawak khususnya di kawasan Satok dan Kubah Ria.

Mengimbau sejarah lama, dahulu selain menjadi medium penghubung untuk kegunaan rakyat menyeberangi sungai, ia turut digunakan untuk meletakkan paip bagi menyalurkan bekalan air ke Matang.

Namun pada tahun 1992, jambatan itu terpaksa ditutup kepada laluan orang ramai atas faktor keselamatan, sebelum ia runtuh susulan kabel penahannya putus.

Dibangunkan di tapak asal pada 18 September 2017, mengambil masa kira-kira 4 tahun sebelum ia dibuka kepada awam pada Ogos lalu.

Jambatan Gantung Satok mempunyai dimensi struktur binaan baharu itu adalah 213 meter panjang dengan lebar 3 meter dan berketinggian 22 meter.

Lebih menarik, jambatan tersebut turut dinaik taraf dengan penambahan lampu LED mengaplikasikan sentuhan moden kepada mercu tanda bersejarah negeri Sarawak itu.

Untuk rekod, pembinaan semula jambatan ikonik tersebut merupakan salah satu daripada 109 inisiatif kerajaan Sarawak.

Sumber: Astro Awani

Destination: