Selain Coconut Shake, Pantai Klebang Kini Tawar Aktiviti Berkuda Buat Pengunjung!

January 24, 2022 - 05:12 PM


Kalau sebut tentang Pantai Klebang di Melaka, pasti ramai yang terus tergambarkan keenakkan 'coconut shake' yang terkenal di situ sambil menghirup angin petang di tepi pantai.

Tetapi korang tahu tak bahawa di lokasi popular itu terdapat satu lagi tarikan aktiviti baharu yang wajib korang cuba iaitu menunggang kuda atau berjalan-jalan menaiki pedati kuda ala-ala puteri dan putera raja gituh...hehehe

Disebabkan keistimewaan Klebang yang memiliki pasir pantai putih -- aktiviti berkuda di kawasan itu bukan sekadar sebagai riadah atau pertandingan semata-mata, sebaliknya turut dipelbagaikan bagi tujuan sesi fotografi juga.

Bagi aktiviti berkuda di Pantai Klebang, ada yang mencuba aktiviti menunggang santai (fun ride) iaitu membabitkan seorang atau dua penunggang kuda diiringi jurulatih atau operator mengelilingi kawasan pantai.

Korang tak perlu risau jika ini merupakan kali pertama korang menunggang kuda kerana kuda di sini sudah dilatih untuk membawa pengunjung merasai pengalaman bersantai di pantai sambil menikmati bayu petang.

Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti menaiki kereta kuda seperti kita lihat di negara Eropah, pengalaman pengunjung menaik pedati yang dihias cantik sambil dikendalikan pengemudi berkenaan menyusuri perjalanan sejauh 400 meter sepanjang pantai.

Malah ada juga pasangan pengantin yang mahu merakam kenangan indah dengan kuda. Ini antara aktiviti kebiasaanya dilakukan pengunjung di pantai ini.

Ketika ini aktiviti berkuda adalah 'penyeri' kawasan Pantai Klebang terutama bagi pengunjung kanak-kanak. Sudah namanya kanak-kanak secara semula jadi haiwan antara yang mampu menarik minat mereka.

Sebenarnya aktiviti air di sini terhad kerana ia adalah kawasan pantai yang sudah ditambak. Aktiviti lain sering dilakukan pengunjung di pantai ialah berkelah atau bermain layang-layang. Kalau tidak pun pengunjung hanya melepak sambil menjamu selera di kawasan 'food truck' atau gerai makanan.

Menerusi aktiviti berkuda ini, ada kelainan tersendiri apabila pengunjung berpeluang menimba pengalaman menunggang di kawasan berliku dan berpasir.

Ini mencipta kenangan indah dan unik khusus buat kanak-kanak supaya lebih yakin berdepan dengan haiwan.

Aktiviti rekreasi berkuda di sini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 apabila segala peralatan seperti helmet sentiasa disanitasi, selain mengamalkan penjarakan fizikal dan mengenakan pelitup muka tidak kira jurulatih atau pengunjung sekali pun.

Tidak hanya aktiviti tunggangan santai, ada juga tunggangan 'trail' menyusuri trek lebih mencabar turut ditawarkan kepada pengunjung.

Pengunjung akan mencuba mengendali kuda dengan menaiki trek berbukit dan berpasir yang tinggi di kawasan Pantai Klebang itu sendiri.

Sumber: Harian Metro

Destination: