D'Bilut Agro Farm - Port Percutian Best Rasai Suasana Ladang Sebenar!
Sekiranya anda ingin merasai pengalaman sebenar berada di ladang -- D’Bilut Agro Farm di Lurah Bilut, Bentong, Pahang merupakan destinasi wajib yang patut anda masukkan dalam senarai itinerari bagi aktiviti santai bersama keluarga.
Hanya kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur -- lokasi yang menawarkan pemandangan hijau, udara segar serta persekitaran mesra keluarga ini sudah pastinya menjanjikan destinasi percutian terbaik.
Bukan hanya menyajikan pemandangan indah, segalanya ada di D’Bilut Agro Farm untuk diterokai oleh para pengunjung.
Pengalaman Kehidupan Sebenar Di Ladang
Berkeluasan 7.5 ekar -- pengunjung akan dapat merasai kehidupan sebenar di ladang dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Terdapat pelbagai tarikan seperti :
- Ladang ternakan rusa
- Ladang madu kelulut
- Zoo yang menempatkan haiwan-haiwan seperti arnab, burung, kucing dan rakun
- Aktiviti memanah
Selain berpeluang memberikan makanan, anda juga boleh ‘berinteraksi’ secara langsung bersama haiwan-haiwan comel ini di D’Bilut Agro Farm. Sudah pasti ia menjadi tempat terbaik untuk anda meluangkan masa bersama keluarga khususnya dengan anak-anak.
Malahan, sewaktu musim buah, para pengunjung boleh memetik serta menikmati secara terus buah-buahan segar daripada pokok yang terdapat di D'Bilut Agro Farm seperti durian, rambutan dan manggis pada harga istimewa.
Penggemar Durian, Tempat Ini Untuk Anda!
Di sini, terdapat juga pelbagai jenis durian seperti durian kampung, Musang King dan D24. Yang pasti, tiada pilihan yang terbaik selain daripada menikmati durian-durian ini ketika musimnya iaitu antara Jun hingga Ogos.
Pengasas dan Penasihat D'Bilut Agro Farm, Datuk Nik Mohd Kamel Nik Hassan berkata, beliau telah memulakan perniagaan sejak empat tahun lalu dengan perancangan pembangunan ladang tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat.
“Kini, D'Bilut Agro Farm sesuai untuk dijadikan lokasi bagi pelbagai penganjuran acara seperti majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, aktiviti pengukuhan kerja berpasukan (team building), meredah jeram, mendaki serta berkhemah.
“Sekiranya anda seorang pencinta alam semula jadi, anda boleh mendaki Bukit Botak yang terletak di belakang ladang kami. Bagi para penggemar aktiviti lasak, mereka juga boleh menyewa ATV 500cc di Bukit Botak untuk kepuasan pemanduan yang mencabar,” katanya.
Selain itu, D'Bilut Agro Farm turut menyediakan fasiliti penginapan iaitu sembilan unit dormitori dengan setiap satunya boleh memuatkan sehingga sembilan orang dalam satu-satu masa.
Namun, sekiranya anda ingin merasai pengalaman lebih santai sambil menikmati alam semula jadi, anda boleh memilih untuk berkhemah di kawasan perkhemahan yang disediakan.
Rendang Rusa Istimewa Hanya Di D'Bilut Agro Farm
Pengalaman di ladang sudah pastinya tidak akan lengkap tanpa merasai menu istimewa rendang rusa yang disajikan di sini.
Keenakan rendang rusa ini turut dihidangkan bersama kambing goreng (ya, kambing goreng!) dan nasi goreng dalam pinggan besar yang boleh dikongsi sehingga empat orang.
Hidangan ekslusif ini pastinya membangkitkan cita rasa unik yang akan kekal dalam ingatan para pengunjung sebagai pengalaman terbaik sepanjang berada di D'Bilut Agro Farm.
Jadi, tunggu apa lagi, jom bawa keluarga anda untuk sama-sama merasai pengalaman kehidupan di ladang yang menyeronokkan, hanya di D'Bilut Agro Farm.
D'BILUT AGRO FARM
Alamat: Lot 6773, Lurah Bilut, 28800 Bentong, Malaysia.
Facebook: D'BilutAgroFarm
Waktu Operasi: Isnin, Rabu dan Khamis (10.00 pagi hingga 6.00 petang), Jumaat, Sabtu dan Ahad (9.00 pagi hingga 5.00 petang), ditutup pada Selasa.
*Artikel ini dibawakan khas oleh Tourism Malaysia
Sumber: Astro Awani