Walaupun Paling Kecil, Tapi Perlis Ada 'Kampung Balik Bukit' Yang Memukau!

May 23, 2022 - 05:33 PM


Siapa sangka di negeri terkecil Malaysia iaitu Perlis mempunyai satu lokasi menakjubkan dengan pemandangan luar biasa yang cukup memukau.

Jika anda bercuti ke Perlis jangan lupa untuk berkunjung ke Kampung Balik Bukit yang dikelilingi sawah padi menghijau dan berlatar belakangkan Bukit Chuping kerana di sini anda pasti terpesona dengan keindahannya.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Kangar serta 3 kilometer dari Bukit Keteri -- perkampungan tersebut menjadi lokasi menarik bagi sesiapa yang ingin menikmati ketenangan.

Malah, ramai yang mengambil kesempatan mengunjungi kawasan berkenaan khususnya untuk bergambar atau bersantai sambil menikmati keindahan di situ.

Seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Maizatul Yasmin Nazira Yaziz,21, berkata, dia bersama rakan-rakan meluangkan masa sempena cuti hujung minggu mengunjungi kampung tersebut.

Kata yang berasal dari Kuantan, Pahang -- sawah padi yang menghijau dan keindahan bukit di kawasan berkenaan menjadi lokasi sesuai untuk mereka bergambar kenangan dan menikmati keindahan alam semula jadi di situ.

“Kami juga mengambil kesempatan berkelah dan menikmati makanan yang dibawa di kawasan sawah di situ. Cuti hujung minggu sambil menikmati keindahan alam semula jadi sangat-sangat menyeronokkan,” kata pelajar Diploma Kimia Perindustrian itu.

Rakannya, Marzirah Marzuki,21, pula berkata, Perlis mempunyai banyak lokasi menarik yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi.

Katanya, dia dan rakan-rakan memilih untuk mengunjungi kampung tersebut yang mempunyai pemandangan cukup memukau.

“Panorama berlatar belakangkan Bukit Chuping sangat unik dan kombinasi sawah padi dengan bukit berkenaan menjadikan gambar yang dirakam sangat cantik.

“Malah, saya melihat kawasan perkampungan tersebut juga sangat sesuai dijadikan sebagai salah satu lagi lokasi tarikan pelancongan baharu di negeri ini. Selain bergambar, orang ramai juga boleh menikmati keindahan di sini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: