Langkawi Miliki Tarikan Baharu 'Arca Dasar Laut' Yang Ditenggelamkan Di Pulau Pasir!

May 27, 2022 - 12:56 PM


Pulau Langkawi sememangnya terkenal sebagai destinasi percutian pelancong dari dalam dan luar negara disebabkan pantainya yang indah selain pelbagai tarikan di situ.

Kini, ada alasan lain untuk berkunjung ke pulau legenda itu apabila satu lagi tarikan terbaharu iaitu "Arca Dasar Laut" dihasilkan yang terletak di Pengkalan Kubang Badak dan pastinya bakal menarik perhatian peminat seni dan pelancong antarabangsa.

Kesemua arca itu telah dihasilkan oleh 9 artis berpengalaman dengan mengetengahkan konsep mitos dan legenda di pulau peranginan itu.

Bagi menambah nilai kepada setiap arca -- ia menggunakan simen konkrit yang telah dirawat dan bahan ini bersifat mesra kepada ekosistem dan ekologi marin.

Sembilan arca itu dihasilkan dengan saiz minimum 5 kaki setiap satu turut dilabuhkan di perairan Pulau Pasir dan akan berada pada kedudukan di daratan, sekitar pesisir dan gigi pantai dan paling menarik ‘dibenam’ ke dasar laut yang mengambil masa 5 bulan untuk disiapkan.

Antara artis yang terlibat dalam program itu adalah :

1) Mohd Al Khuzairie Ali (Sang Kelembai Meletus)

2) Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah)

3) Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen)

4) Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap)

5) Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid (Sumpahan Mahsuri)

6) Tengku Sabri Tengku Ibrahim (Archelon)

7) Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi)

8) Low Chee Peng (Curse of Passing)

9) Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let)

Lebih menarik, kesemua arca yang dibina sejak Januari lalu itu turut melibatkan komuniti setempat yang terdiri daripada para nelayan, operator selam skuba dan artisan tempatan dalam menghasilkan arca tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad berkata, projek itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk membawa lebih banyak karya seni ke alam dan tidak semata-mata dipamerkan secara konvensional iaitu di galeri.

Bagaimanapun, Arca Dasar Laut ini juga adalah satu tindakan memberi kembali kepada alam untuk mengembalikan ekologi marin.

“Ia bukan sekadar arca tetapi perumah baru untuk pelbagai spesis ikan dan ekologi marin lain kerana arca ini berfungsi sebagai tukun tiruan dan bukan hanya karya seni semata-mata.

"Kehadiran arca ini pastinya akan memperkayakan lagi koloni dan habitat marin yang akhirnya akan memberi punca rezeki kepada komuniti setempat selain pemangkin kepada eco-marine tourism yang baharu," katanya ketika melancarkan program itu di Pulau Langkawi pada Ahad lalu.

Jelas Ameruddin lagi, penghasilan arca dasar laut ini dilaksanakan di Pengkalan Kampung Kubang Badak kerana ia merupakan tempat pertemuan dalam kalangan penggemar biogeotrail tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan memancing.

Keputusan untuk menempatkan kesemua arca itu di Pulau Pasir juga dibuat selepas melakukan pelbagai kajian termasuk kerjasama penyelidik berkaitan hidupan marin, biologis dan kerajaan negeri.

“Di Pulau Langkawi memang terdapat banyak pulau menarik tetapi hasil kajian penyelidik mendapati kawasan itu paling sesuai apatah lagi ia tidak jauh dari Pengkalan Kampung Kubang Badak.

“Meskipun ada beberapa arca ditenggelamkan ke dasar laut dan boleh dilihat menerusi aktiviti menyelam, pihak kita turut meletakkan beberapa arca lain di kawasan pesisir pantai dan separa tenggelam untuk memudahkan pelancong melihat dengan lebih dekat,” ujarnya.

Penghasilan arca-arca tersebut adalah sebahagian daripada program Community-Based Tourism anjuran Balai Seni Negara dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Marine Research and Excellent Centre (MAREC) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Program ini juga telah mendapat tajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan juga LADA. laman web www.artgallery.gov.my atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

Sumber: Mstar

Destination: