Lagi Kes Penceramah Bebas Bergelar Ustaz Beristeri Tiga Berdepan Penjara 190 Tahun
Seorang penceramah bebas bergelar ustaz dijangka akan didakwa sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Klang, pagi ini.
Suspek berusia 30-an yang hadir pukul 8.30 pagi itu bakal didakwa berkenaan kes rogol dan gangguan seksual di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.
Terdahulu, Kosmo! pada 19 Julai lalu melaporkan lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada pukul 4.50 petang pada 18 Julai lalu.
Ini selepas polis menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berkaitan kes rogol.
Seorang penceramah bebas berdepan penjara 190 tahun apabila didakwa tuduhan rogol, amang seksual dan hubungan seks dengan objek antara Jun 2021 hingga Februari lalu di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.
Muhammad Fathi yang mempunyai tiga orang isteri didakwa tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Bapa kepada lapan anak itu juga didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Selain itu, Muhammad Fathi juga dituduh melakukan perhubungan seks dengan objek terhadap remaja sama mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan boleh sampai 30 tahun serta sebat.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire di kawasan parkir dan hadapan sebuah surau serta dalam sebuah hotel sekitar Bandar Puncak Alam antara Jun 2021 hingga Februari tahun ini.
Semasa prosiding pendakwaan tersebut, dua wanita dipercayai isteri mangsa turut berada di dalam galeri mahkamah berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh dilarang mendekati dan menghubungi mangsa secara fizikal atau komunikasi lain.
Peguam Samry Masri mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnya memerlukan perbelanjaan bagi rawatan penyakit slip disc (tulang rawan tergelincir).
“Anak guam saya mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia satu hingga 11 tahun yang memerlukan perhatian daripada tertuduh. Selain itu, turut menanggung ibu bapa berusia 66 dan 68 tahun.
“Sebelum ditangkap pekerjaan utamanya adalah penceramah bebas. Namun, selepas kes viral telah menyebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Sebutan semula kes pada 10 Januari depan.
Terdahulu, Kosmo! pada 19 Julai lalu melaporkan aeorang penceramah bebas bergelar ustaz dicekup selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini.
Lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada pukul 4.50 petang 18 Julai lalu. -KOSMO!ONLINE