"Bagaikan Permaidani Ungu" - Lavender Tumbuh Subur Di Padang Pasir Tandus Arab Saudi, Peristiwa Jarang Berlaku!

TERKINI
February 20, 2023 - 06:07 PM


Bagaikan hamparan permaidani ungu, padang pasir Arab kini semerbak mewangi ditumbuhi pokok lavender liar.

Pengunjung dilihat berkongsi foto berlibur di padang pasir di Rafha, kawasan di utara Arab Saudi berhampiran dengan sempadan Iraq.

Kawasan padang pasir yang dahulunya merupakan gurun yang tandus menjadi tarikan pelancong dari seluruh Semenanjung Arab.

Kewujudan bunga ungu itu yang kembang mekar di padang pasir dicetuskan oleh hujan musim sejuk yang lebih lebat baru-baru ini.

“Tiada siapa menjangkakan perkara ini berlaku di Arab Saudi. Bau dan pemandangannya menyegarkan jiwa,” kata pesara guru berusia 50 tahun itu.

Hujan musim sejuk membawa banjir ke bahagian barat Arab Saudi akhir tahun lalu telah membawa ‘kehidupan’ ke padang pasir.

Seorang lagi pengunjung, Nasser al-Karaani, 55, yang sanggup menempuhi perjalanan sejauh 770 kilometer dari ibu kota Riyadh untuk melihat bunga berwarna ungu tu sebelum ia layu.

“Hal ini berlangsung dari 15 hingga 20 hari setahun dan kami datang ke sini khusus untuk menikmatinya. Suasana ini membuatkan saya berasa tenang,” katanya sambil menikmati secawan teh panas dengan rakan-rakan.

Di seberang padang pasir, ada pelawat memasang khemah dan memasak makanan di atas api terbuka.

Penduduk di kawasan itu menjauhkan unta untuk menghalang mereka memakan bunga yang telah menarik perhatian pelancong.

Hamza al-Mutairi, yang sedang berkhemah dengan rakan-rakan, berkata dia berasa tenang dengan pemandangan itu.

“Ia memberi seseorang motivasi baharu untuk hidup,” kata warga Saudi berusia 56 tahun itu.

Seorang lagi pengunjung, Abdul Rahman al-Marri berkata dia telah memandu jauh dari negara asalnya Qatar untuk melihat bunga liar itu yang sedang mekar.

“Pemandangan itu berbaloi selepas perjalanan lebih daripada 12 jam. Seolah-olah kamu berada di syurga,” katanya.

Warganet rata-rata teruja dengan fenomena jarang berlaku itu. Namun tidak kurang juga yang bermuhasabah dan mengaitkannya dengan tanda-tanda seperti mana sabda oleh Nabi Muhammad SAW ribuan tahun dahulu.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak akan terjadinya hari kiamat sehingga bumi Arab kembali menjadi kebun-kebun dan sungai-sungai dan sehingga pengembara dalam perjalanan di antara Iraq dan Makkah tidak merasa takut kecuali takut tersesat jalan. Dan terjadi banyak haraj.” Mereka bertanya apakah haraj ya Rasulullah? Jawab baginda; “Pembunuhan.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

INFO TENTANG LAVENDER

1-Lavender adalah herba yang berasal dari Afrika Utara dan kawasan pergunungan Mediterranean.

2-Ia juga ditanam untuk penghasilan minyak patinya.

3-Minyak itu mempunyai kegunaan kosmetik dan ia dipercayai mempunyai beberapa kegunaan perubatan seperti meredakan kebimbangan (anxiety), jangkitan fungus, keguguran rambut dan sebagainya.

4-Minyak pati lavender berbeza dengan bentuk tumbuhan dan ia adalah toksik apabila ditelan.

5-Lavender mampu meredakan gejala emosi prahaid (PMS) apabila digunakan sebagai aromaterapi.

Sumber: Al-Arabiya News 1, 2, Medical News Today

Destination: