Power! Putrajaya Guna 'Controller CCTV' Pantau SOP Pengunjung

TERKINI
September 15, 2021 - 07:09 PM


Masalah zaman moden, penyelesaian pun moden!

Peningkatan luar biasa pengunjung di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini sejak Sabtu lalu sudah dijangka dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya juga memahami keadaan masyarakat di Lembah Klang yang telah lama berkurung dan ingin keluar beriadah.

Beliau berkata, Putrajaya adalah antara lokasi pelancongan domestik popular di Lembah Klang di mana tumpuan utama pastinya di taman-taman rekreasi awam.

“Justeru, kami menasihatkan pengunjung supaya dapat memberikan kerjasama sebaiknya dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan pandemik Covid-19 dapat dikekang. 

“Pengunjung juga dinasihatkan supaya mengelakkan diri untuk terus bersesak dan masuk ke lokasi tumpuan yang padat dengan pengunjung,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Menurut beliau, pihaknya masih mengutamakan advokasi awal kepada pengunjung, namun tindakan kompaun akan dilaksanakan sekiranya ada pelanggaran yang keterlaluan.

Pada masa sama, A. Asmadi berkata, pihaknya turut menggerakkan pasukan pemantau bagi memantau kepatuhan pengunjung terhadap SOP yang ditetapkan MKN.

Beliau memberitahu, pihaknya turut melaksanakan inisiatif kawalan ‘controller CCTV’ bagi memantau aktiviti pengunjung di seluruh Putrajaya.

“Kawalan ‘controller CCTV’ memainkan peranan sama dengan memantau aktiviti pengunjung di seluruh kawasan Putrajaya terutama apabila menyedari sesuatu lokasi tumpuan menjadi padat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya.

Putrajaya kembali meriah dengan kehadiran orang ramai susulan kebenaran rentas daerah di Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), pada 10 September lalu.