Australia Gesa AirAsia Indonesia Kaji Semula Taklimat Keselamatan Penumpang

TERKINI
November 29, 2019 - 11:39 AM


Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah mengeluarkan cadangan dan saranan keselamatan penumpang kepada AirAsia Indonesia. Pihak AirAsia Indonesia diminta mengkaji semula latihan serta bahan taklimat keselamatan penumpang terutamanya cara pemakaian dan cara untuk mengaktifkan topeng oksigen penumpang.

Dalam sebuah kenyataan semalam, saranan ini dibuat setelah pihak ATSB menyiasat satu insiden yang berlaku dalam pesawat Airbus 320 AirAsia Indonesia dari Perth menuju ke Bali. Insiden yang berlaku 2 tahun lalu ini telah mencetuskan keadaan panik kesemua penumpang, gara – gara kesalahan arahan yang dikeluarkan oleh krew penerbangan.

Menurut ATSB, insiden yang berlaku 30 minit selepas pesawat Airbus tersebut meninggalkan lapangan terbang. Krew penerbangan telah melakukan penurunan kecemasan pesawat kepada 10,000 kaki selepas mendapat tahu ada masalah pada tekanan udara di dalam kabin.

Semasa kejadian, kapten kapal ada membuat pengumuman tentang penurunan kecemasan ini dan secara manual telah menurunkan topeng oksigen. Semasa penurunan, ada topeng oksigen tidak jatuh dan didapati beberapa orang penumpang telah bangun dan cuba mencari topeng yang berfungsi.

Menurut penumpang, dalam masa yang sama krew penerbangan telah mengeluarkan ‘arahan’ yang salah iaitu ‘Brace’, ‘Get Down’ dan ‘Crash Position’. Arahan ini secara tidak langsung telah mencetuskan suasana panik dan menimbulkan kekeliruan dan kekecohan dalam kabin.

Selepas berada di ketinggian 10,000 kaki, kapten mengumumkan pesawat dalam keadaan normal dan topeng oksigen tidak lagi diperlukan. Pesawat berkenaan kemudian selamat mendarat di Lapangan Terbang Perth tanpa sebarang kecederaan kepada penumpang, anak kapal serta pesawat.

Siasatan ATSB mendapati, insiden berkenaan ada kaitan dengan taklimat keselamatan sebelum penerbangan yang diberikan oleh AirAsia Indonsia selain kad informasi keselamatan tidak menyatakan dengan jelas cara mengaktifkan saliran oksigen kepada topeng keselamatan yang ada. Ini termasuklah tidak menyatakan yang beg udara tidak akan mengembung walaupun gas oksigen telah disalurkan.

Hal ini, secara tidak langsung telah membuatkan ramai penumpang keliru sama ada topeng berkenaan telah mensalurkan gas oksigen atau tidak.

Tambah ATSB lagi, arahan yang diberikan oleh krew AirAsia juga tidak bersesuaian dan secara tak langsung menimbulkan kekecohan dan keadaan panik.

Ada sedutan video di berita ini; cuba nilai betul atau tidak tindakan pramugara tersebut: