Baru Berangan Nak Lepak Tepi Pantai, 5 Individu Mahu Ke Langkawi Positif Covid-19

TERKINI
September 17, 2021 - 11:59 AM


Aiyo... baru feeling nak bercuti, dah kena balik kuarantin :(

Lima kes positif dikesan hasil saringan Covid-19 terhadap individu mahu berlepas menerusi pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 2,546 individu disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sehingga 12 tengah hari.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 1,250 individu disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 individu melalui feri di Kuala Perlis.

"Seramai 2,528 individu menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) dan lima kes positif Covid-19 dikesan manakala enam individu menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan semua keputusan adalah negatif.

"Baki 12 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing," kata Dr Noor Hisham. 

Dr Noor Hisham berkata, lima kes dikesan positif adalah kategori satu iaitu tidak bergejala dan diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.

Beliau berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik seterusnya.

"Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

"Atas sebab itu, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif," katanya.

Beliau berkata, kejayaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik ini tidak hanya boleh bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu didokongi usaha sama semua pihak dan lapisan masyarakat.

PERINGATAN UNTUK JAGA SOP KETIKA BERCUTI

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling.

"Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap. Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau selepas pulang dari Pulau Langkawi, segera dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan Covid-19.

"Jika masyarakat mengambil mudah kelonggaran diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk.

"KKM mengucapkan jutaan penghargaan atas kerjasama dan sokongan diberikan pelbagai pihak dan agensi dalam merealisasikan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi," katanya.