Bertuahnya Remaja Ni, Jadi Pelancong Angkasa Lepas Berhijab Pertama Dunia!

TERKINI
February 17, 2022 - 05:14 PM


Kalau kita dapat melancong ke luar negara pun dah cukup seronok, apatah lagi bagi seorang remaja ini yang bakal mencipta sejarah sebagai 'Pelancong Angkasa Lepas' berhijab pertama di dunia!

Remaja berusia 19 tahun yang dikenali sebagai Zainab Azim itu bakal merealisasikan impiannya selepas ibu dan bapanya menghadiahkan tiket penerbangan suborbital Virgin Galactic semasa ulang tahun kelahirannya yang ke-11 tahun.

Pelajar itu kini yang sudah cukup umur dan layak untuk menaiki kapal angkasa menggunakan tiket yang dibeli dengan harga AS$250,000 itu.

Zainab berada di Dubai pada 11 Februari untuk bercakap pada Hari Antarabangsa untuk Wanita dan Gadis dalam Sains di Ekspo 2020 Dubai.

Kata Zainab, dia melihat perkembangan itu akan mencipta lebih banyak peluang untuk wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

"Tiket itu adalah hadiah daripada ibu bapa saya kerana saya sentiasa berminat dengan angkasa lepas," kata Zainab, yang merupakan pengasas bersama organisasi Global Initiative and Vision for Education, kepada portal The National.

Walaupun Zainab mungkin akan menjadi pelancong angkasa lepas berhijab pertama, namun dia bukanlah wanita Islam pertama ke angkasa lepas.

Pada tahun 2006, ahli perniagaan wanita Iran-Amerika, Anousheh Ansari dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa dalam misi yang dibiayai sendiri dengan bayaran kira-kira AS$20 juta.

Seorang jurutera dari Emiriah Arab Bersatu, Nora Al Matrooshi pula adalah wanita Arab pertama yang dipilih sebagai angkasawan. Dia bakal menjadi angkasawan berhijab pertama di Stesen Angkasa Antarabangsa jika dia mendapat peluang untuk ke sana sebelum operasinya dihentikan pada 2031.

Lebih 600 pemegang tiket Virgin Galactic di seluruh dunia juga sedang menunggu giliran untuk mendapat tempat dalam kapal angkasa itu.

Penerbangan penumpang pertama, yang membawa pemilik Virgin, Richard Branson, berjaya dilengkapkan pada musim panas lalu.

Namun ia dihentikan sementara kerana menyimpang dari laluan penerbangannya. Virgin Galactic mengumumkan bahawa operasinya akan disambung semula pada akhir tahun ini.

Justeru, Zainab mungkin perlu menunggu beberapa tahun lagi sebelum gilirannya tiba, tetapi dia tetap teruja.

"Saya teruja, tetapi saya tahu ibu saya sudah takut dan kami masih belum ada tarikh yang pasti," katanya yang merupakan pelajar universiti di Toronto, mengikuti dua jurusan, neurosains dan dasar awam serta psikologi dan astrofizik.

“Saya anak perempuan tunggalnya dan saya mempunyai dua adik lelaki, jadi saya faham ketakutannya," katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: