Confirm! Umat Islam Diminta Tangguh Haji & Umrah Oleh Arab Saudi

TERKINI
April 01, 2020 - 12:21 PM


Jika beberapa hari lepas kita di Malaysia dimaklumkan dengan pembatalan bazar Ramadan di beberapa buah negeri antaranya Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka -- namun ini ada satu lagi berita yang sungguh menyedihkan buat umat Islam khasnya.

Disebabkan ketidaktentuan pandemik koronavirus yang sedang menular di ratusan negara di dunia, hari ini kerajaan Arab Saudi secara rasmi telah meminta umat Islam dunia supaya MENANGGUHKAN HASRAT UNTUK MENUNAIKAN IBADAH HAJI & UMRAH di tanah suci.

Perkara itu dinyatakan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh bin Taher Benten kepada stesen televisyen al-Ekhbariyah malam semalam.

Dr Mohammad Saleh berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah umrah dan haji pada bila-bila masa, bagaimanapun keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan setiap individu.

“Arab Saudi ketika ini menjaga 1,200 jemaah yang tidak dapat pulang ke negara mereka. Kami juga memulangkan bayaran visa umrah kepada mereka yang tidak dapat mengerjakan umrah,” katanya kepada stesen televisyen itu dipetik Al Arabiya.

Sehingga semalam, sebanyak 1,563 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di Arab Saudi dengan pertambahan 110 kes baharu manakala 10 individu telah maut akibat wabak tersebut.

Sebelum ini, Arab Saudi telah menggantung kemasukan jemaah umrah ke Mekah dan Madinah bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Penjaga dua masjid suci umat Islam itu turut melarang semua pihak daripada melawat Mekah untuk mengerjakan umrah atau melawat masjid nabi di Madinah.

Ibadat haji adalah Rukun Islam kelima, yang mana wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang memenuhi syarat dan berkemampuan.

Perkembangan ini dijangka memberi impak yang serius kepada pengendali haji dan umrah di seluruh dunia, termasuk lebih 600 syarikat pengembaraan Malaysia yang bernaung di bawah BUMITRA (Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera).

Sumber: AlHijrah Online

Baca juga: COVID-19: Arab Saudi Tunda Ibadah Umrah Sepanjang Tahun 2020

Destination: