Imej Pulau Perhentian Kecil Tercemar Gara-Gara Pelancong Keracunan, Tokey Resort Pula Degil Tetap Operasi Walaupun Dapat Notis!
TERKINISiapa sangka salah sebuah pulau peranginan popular di Terengganu iaitu Pulau Perhentian Kecil tidak seindah namanya apabila imej pulau berkenaan tercemar dengan insiden kes keracunan makanan yang menimpa beberapa orang pelancong yang bercuti di sana.
Lebih memeranjatkan apabila siasatan dilakukan ternyata 5 buah resort di Pulau Perhentian Kecil itu dikesan tidak menyelenggarakan sisa kumbahan dengan baik, namun masih beroperasi biarpun tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pengusaha resort yang masih berdegil itu -- yang menerima natijahnya adalah para pelancong yang tidak bersalah sehingga menjejaskan kesihatan dan keseronokan percutian mereka di pulau berkenaan.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil
Kesemua mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir ketika menghabiskan masa bercuti selama 3 hari 2 malam di lokasi tarikan pelancong itu.
Tanpa berlengah panjang, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut telah bekerjasama dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan dan Pejabat Daerah Besut mengadakan Operasi Pemeriksaan Premis Makanan dan Bekalan Air yang telah diadakan di Pulau Perhentian pada 1 hingga 3 Jun lepas.
Ia bertujuan memastikan tahap kebersihan premis penyediaan makanan, keselamatan makanan serta bekalan air berada pada tahap yang terbaik.
Sebanyak 49 premis makanan telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 17 premis diberikan Gred A, manakala 32 premis diberikan Gred B.
Namun semalam Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak mendedahkan bahawa terdapat 5 pengusaha resort yang masih berdegil meneruskan operasi tanpa kelulusan meskipun telah menerima notis undang-undang.
Ini kerana kesemua mereka dikesan tidak menyelenggara sisa kumbahan resort masing-masing dengan baik.
2 tahun lalu mereka telah dikompaun maksimum sebanyak RM50,000 dan kes juga masih dalam proses tindakan undang-undang.
Bagaimanapun tidak pula didedahkan nama-nama resort yang tidak bertanggungjawab itu kerana kes masih lagi dalam siasatan lanjut.
Sumber: FMT & Sinar Harian